KOTA KINABALU: UMNO Sabah mahu pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menghasut rakyat negeri ini menerusi provokasi melampau dikaitkan dengan cubaan membawa keluar Sabah dan Sarawak dari Malaysia.
Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir, berkata tindakan pihak terbabit yang secara terbuka menguar-uarkan provokasi itu melalui media sosial perlu dihentikan segera dan pelakunya dikenakan tindakan tegas.
Jelasnya, perbuatan berkenaan sangat bahaya dan tidak boleh dibiarkan kerana akan menjejaskan semangat kerjasama, perpaduan dan keselamatan rakyat negara ini secara keseluruhan.
“Perbuatan kumpulan ini sengaja mahu memporak-perandakan negara. Atas sebab itu, UMNO Sabah meminta pihak berkuasa menyiasat siapa dalang di sebalik tindakan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran mengulas provokasi pihak tidak bertanggungjawab mahu membawa keluar Sabah dari Malaysia yang tersebar menerusi media sosial, baru-baru ini.
Tegasnya, pihak polis perlu menyiasat segera perkara itu terutama mereka yang menghasut dari luar kerana ia adalah isu yang berbahaya.
Sementara itu, Suhaimi berkata jika ada masalah dalam hubungan persekutuan – negeri, ia boleh dibincangkan dengan baik, bukan dengan menguar-uarkan dan memanaskan hati rakyat serta menghasut mereka berfikiran bukan-bukan.
Malah, katanya jika ia dikaitkan dengan isu Perjanjian Malaysia 1963 (M63), perkara itu sudah ditangani melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang setakat ini menyelesaikan sebanyak 11 tuntutan dengan tujuh daripadanya di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita yakin peringkat demi peringkat isu tuntutan MA63 ini akan diselasaikan dan jika inilah antara sebab mendorong kumpulan ini membangkitkan semula isu Sabah keluar dari Malaysia sudah tentunya ianya tidak relevan,” katanya.
Suhaimi berkata, Perdana Menteri begitu konsisten dan teliti memastikan semua tuntutan kerajaan Sabah dan Sarawak dipenuhi demi merealisasikan hak yang diperjuangkan kedua-dua negeri.
Selain itu, Suhaimi berkata, kenaikan kadar pembayaran khas interim kepada Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan juga adalah bukti Perdana Menteri prihatin serta memahami secara mendalam isu berkaitan kenaikan kos di kedua-dua negeri. – Info X