TUARAN: Satu laporan polis dibuat berhubung hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi kenyataan dan bahan visual mengelirukan berkaitan Sabah yang disifatkan berpotensi menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara jika tidak ditangani segera.
Laporan itu dibuat Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) selaku Pengasas TigaSatuTiga Channel, Keyafatullah Malik Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, di sini, pada Isnin.
Laporan polis itu berkaitan satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook menggunakan nama ‘Sultan Muedzul-Lail Tan Kiram’, dipercayai milik individu yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu dan waris Kesultanan Sulu.
Berdasarkan laporan beliau, hantaran itu didakwa mengandungi beberapa tuduhan berhubung operasi penahanan dan penghantaran pulang warga Filipina dari Sabah, selain mendakwa berlaku kematian dalam pusat tahanan akibat kesesakan serta mengaitkan komuniti Tausug dengan hak sejarah terhadap Sabah.
Turut dibangkitkan ialah penggunaan sekeping gambar yang diberikan kapsyen ‘Tausug inside the detention cell in Sabah’.
Bagaimanapun, katanya berdasarkan semakan awal yang dibuat beliau melalui sumber terbuka, gambar berkenaan disyaki bukan dirakam di mana-mana pusat tahanan di Sabah, sebaliknya adalah gambar lama dari Penjara Quezon City, Manila yang digunakan di luar konteks.
Berikutan itu, beliau memohon supaya perkara berkenaan disiasat bagi menentukan kesahihannya.
Kefayatullah berkata, walaupun siasatan lanjut perlu dijalankan oleh pihak berkuasa, penyebaran kandungan sedemikian tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia menyentuh isu yang sensitif berkaitan Sabah.
“Ini bukan sekadar perbezaan pandangan di media sosial. Apabila sesuatu kandungan membawa dakwaan yang belum dipastikan kesahihannya, disertakan dengan gambar yang didakwa tidak menggambarkan keadaan sebenar dan dikaitkan dengan naratif sejarah Sabah, ia berpotensi membentuk persepsi yang salah dalam kalangan masyarakat, termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, kandungan yang tular tanpa pengesahan mampu mempengaruhi sentimen masyarakat, menghakis keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan serta membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mengeksploitasi isu berkenaan bagi kepentingan tertentu.
Katanya, Sabah bukan asing daripada ancaman keselamatan yang mempunyai kaitan dengan tuntutan Kesultanan Sulu dan atas sebab itu setiap naratif yang menyentuh kedaulatan negeri ini perlu dinilai secara serius dan berasaskan fakta.
Beliau menjelaskan, laporan polis itu bukan bertujuan membuat sebarang tuduhan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan, penggunaan gambar, sumber penyebaran kandungan serta mengenal pasti sama ada wujud sebarang unsur penyebaran maklumat mengelirukan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
Beliau turut berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi berkaitan dapat meneliti perkara itu mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga sesuatu naratif berkembang menjadi konflik yang lebih besar. Jika terdapat unsur penyebaran maklumat yang mengelirukan atau cubaan mempengaruhi persepsi awam terhadap Sabah dan Malaysia, tindakan perlu diambil lebih awal. Pencegahan sentiasa lebih baik daripada berdepan implikasi yang sukar dikawal pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah berkongsi kandungan yang belum disahkan kesahihannya, khususnya yang membabitkan isu keselamatan, hubungan diplomatik dan kedaulatan negara.
Dalam masa sama, beliau berharap siasatan yang dijalankan nanti dapat memberikan penjelasan menyeluruh kepada masyarakat dan memastikan sebarang tindakan diambil berdasarkan fakta serta bukti yang sah di sisi undang-undang. – Info X