KOTA KINABALU: Skop siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir yang sebelum ini kecil dan terhad mesti disusuli segera dengan satu prosiding inkues seperti diminta keluarga arwah melalui peguam mereka sebelum ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata langkah itu perlu sejajar arahan Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat lanjut kes itu.
“Saya mengalu-alukan kenyataan Jabatan Peguam Negara semalam yang mengarahkan siasatan lanjut, termasuk menggali semula mayat (exhume) dan menjalankan post-mortem lanjut dalam kes kematian Zara Qairina.
“Langkah ini adalah permulaan penting untuk menangani dakwaan keluarga Zara serta persepsi rakyat bahawa wujud kelemahan dan kepincangam dalam siasatan awal yang dilaksanakan.
“Oleh itu, saya menegaskan bahawa skop siasatan yang sebelum ini kecil dan terhad mesti disusuli segera dengan satu prosiding inkues, seperti diminta oleh pihak keluarga melalui peguam mereka sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran itu berkata, perhimpunan besar-besaran Justice for Zara semalam membuktikan solidariti dan kebangkitan rakyat dalam menuntut keadilan kepada mangsa dan keluarganya.
“Tragedi yang menimpa Zara Qairina bukan sekadar tragedi sebuah keluarga, ia adalah ujian besar terhadap nilai keadilan, integriti dan kejujuran institusi yang terlibat dalam siasatan, termasuk Kementerian Pendidikan. – Info X