Search

SIBEX 2026 himpun pelbagai jenama kecantikan di SICC Disember depan

October 17, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah International Beauty Expo 2026 (SIBEX2026) yang bakal berlangsung Disember ini menyasarkan 50,000 pengunjung dengan menghimpunkan pelbagai jenama kecantikan, profesionalis industri dan pengguna.

Pengarah Urusan ESM Exhibitor Relations Malaysia (Sabah), Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal berkata, SIBEX2026 bakal kembali ke Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu dari 4 hingga 6 Disember depan.

Katanya, ekspo itu akan menghimpunkan banyak jenama kecantikan, profesional industri,
pemain perniagaan serta pengguna dalam satu acara selama tiga hari bagi meraikan perkembangan industri kecantikan global.

“Ekspo ini dianjurkan ESM Exhibitor Relations Malaysia. SIBEX2026 membawa tema ‘3 Days to Be Beautiful’ dan menyasarkan kehadiran sehingga 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya nanti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dayang Khatijah berkata, ekspo itu akan menampilkan pelbagai kategori kecantikan dan penjagaan diri termasuk penjagaan kulit, kosmetik, penjagaan rambut, kecantikan profesional, wellness, salon, spa serta produk dan perkhidmatan berkaitan kecantikan.

“SIBEX2026 turut menyediakan platform B2C dan Direct B2B, membolehkan jenama berinteraksi secara terus dengan pengguna, di samping membuka peluang perniagaan bersama pengedar, peruncit, salon, spa, profesional kecantikan serta rakan niaga berpotensi.

“Kami juga mengalu-alukan penyertaan jenama kecantikan dari Sabah, Malaysia dan antarabangsa untuk meneroka potensi pasaran kecantikan yang semakin berkembang di Sabah dan Borneo.

“Sabah mempunyai pasaran pengguna yang kukuh dan semakin berkembang. Kami percaya terdapat potensi besar untuk jenama kecantikan mengembangkan pasaran mereka di Sabah dan seterusnya ke seluruh Borneo.

“SIBEX2026 direka untuk mewujudkan hubungan secara terus antara jenama, pengguna dan rakan niaga,” katanya.

Beliau berkata, ekspo itu turut memberi tumpuan kepada usahawan kecantikan dan jenama tempatan Sabah, dengan menyediakan peluang untuk meningkatkan pendedahan pasaran serta berhubung dengan pelanggan baharu dan pemain industri.

“Pengunjung boleh menikmati pelbagai tawaran eksklusif, harga promosi, sampel percuma, hadiah percuma, demonstrasi kecantikan, aktiviti solekan, persembahan produk serta pelbagai aktiviti berkaitan kecantikan sepanjang tiga hari acara.

“Semua kemasukan ke SIBEX2026 adalah percuma, kerana ianya bertujuan menyediakan platform yang mudah diakses oleh pengguna untuk mengenali jenama baharu, mencuba produk kecantikan serta menikmati tawaran istimewa sepanjang ekspo,” katanya.

Beliau berkata, SIBEX2026 adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai destinasi menarik bagi penganjuran ekspo dan acara industri bertaraf serantau.

“Kami mahu SIBEX menjadi platform tahunan untuk industri kecantikan di Sabah bukan sahaja untuk pengguna, tetapi juga untuk jenama, pengedar, peruncit dan profesional kecantikan. Visi jangka panjang kami adalah untuk meletakkan Sabah sebagai pintu masuk penting kepada pasaran kecantikan Borneo,” katanya.

ESM Exhibitor Relations Malaysia adalah penganjur acara yang pernah memenangi anugerah dan mempunyai pengalaman luas dalam penganjuran ekspo serta acara perniagaan di Sabah dan Malaysia. – Info X