Search

Sidang DUN: 25,591 lot tanah Anak Negeri diukur sejak 2020

July 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Program Khas
Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) berjaya mengukur sebanyak 25,591 lot tanah berstatus Anak Negeri membabitkan keluasan 33,891.181 hektar di seluruh Sabah sejak 2020.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, berkata jumlah itu membabitkan tanah yang diukur sehingga tahun ini dengan peruntukan RM83 juta dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, program itu adalah inisiatif kerajaan bagi mempercepatkan kerja pengukuran tanah Anak Negeri yang sudah diluluskan dan memudahkan proses pengeluaran hak milik tanah kepada pemohon yang layak.

Katanya, PANTAS akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bermula tahun ini hingga 2030 dengan peruntukan RM10 juta dari Kerajaan Persekutuan.

“Bagi tahun 2026, peruntukan berjumlah RM1 juta sudah disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) bagi pelaksanaan program itu.

“Sebanyak 53 pasukan juruukur ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh Sabah,” katanya pada sesi soal jawab lisan Pesidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Usukan) mengenai peruntukan, bilangan kakitangan teknikal dan keluasan tanah yang berjaya diukur di bawah Program PANTAS di seluruh Sabah.

Sementara itu, Isnin berkata sebanyak 26,808 permohonan tanah masih dalam tindakan di peringkat Pejabat Tanah Daerah di seluruh Sabah setakat 30 Jun 2026.

“Kerajaan negeri melalui JTU Sabah sentiasa berusaha mempercepat pemprosesan permohonan tanah dan pengeluaran geran tanah kepada pemohon tanah yang layak.

“Antara langkah yang sedang dan
akan terus dilaksanakan termasuk memperkukuh pemantauan permohonan tanah di setiap peringkat pemprosesan dan mempercepatkan tindakan pengukuran permohonan tanah yang diluluskan berdasarkan program pengukuran tanah secara sistematik dan menggunakan peralatan ukur moden,” katanya.

Di samping itu, katanya penggunaan sistem pendigitalan jabatan turut diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan serta proses berkaitan pengeluaran geran tanah.

Bagaimanapun, katanya tempoh penyelesaian setiap permohonan tanah bergantung kepada beberapa faktor, termasuk status tanah yang dipohon, isu pertindihan permohonan tanah, keperluan melaksanakan siasatan dan semakan teknikal.

“Ia juga mengambil kira kekangan tenaga kerja untuk pengukuran tanah dan semakan kerja ukur, pematuhan kepada peruntukan perundangan di bawah Ordinan Tanah Sabah Bab 68 serta dasar Kerajaan Negeri yang berkuat kuasa.

“Bagi menangani kekangan tenaga kerja dalam pelaksanaan kerja pengukuran tanah, kerajaan negeri melalui JTU Sabah turut mengambil langkah untuk mengisi sebanyak 30 jawatan Penolong Juruukur Gred J5. Jawatan-jawatan itu kini sedang dalam proses pengiklanan bagi tujuan lantikan baharu,” katanya.

Kerajaan negeri, katanya kekal komited untuk mempercepatkan penyelesaian permohonan tanah dan pengeluaran geran Anak Negeri kepada rakyat Sabah yang layak secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang. – Info X