KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob mencadangkan agar kerajaan membina jalan raya yang menghubungkan Sabah dengan Indonesia menerusi Long Pasia, Sipitang ke Kalimantan Utara.
Beliau berkata, cadangan itu sesuai dengan kewujudan Heart of Borneo (HOB) yang menjadi titik pertemuan antara tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Kalimantan.
Katanya, pada masa ini, bekalan keperluan di Lun Bawang, Kalimantan Utara diterima dari Lawas, Sarawak.
“Jadi, kalau jalan raya ini kita bina akan memberi limpahan ekonomi kepada Sipitang disebabkan di Kalimantan Utara ini banyak hasil bumi seperti arang batu dan biji emas.
“Adalah lebih ekonomi kalau jalan raya daripada Kalimantan Utara tembus ke Long Pasia dan ke Sipitang terutama di Sipitang kini sudah ada Pelabuhan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Lebih dekat membawa barang ke Sipitang dari Kalimantan Utara berbanding ke Pontianak yang jaraknya lebih kurang 700 kilometer (km) atau ke Tarakan lebih kurang 400 hingga 500 km,” katanya.
Beliau berkata demikian ketikan memgemukakan soalan tambahan kepada Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Dr Yusof berkata, sempadan antara Sabah dan Kalimantan Utara begitu panjang dan tidak memadai jika hanya satu jalan raya dibina, iaitu dari Kalabakan ke Simanggaris.
Katanya, disebabkan Indonesia sudah membangun sempadan dari Tarakan hingga ke Pontianak, terdapat keperluan kajian dilakukan untuk menambah jaringan menghubungkan jalan raya dari Sabah ke Kalimantan Utara, Indonesia.
“Ketika ini Kalimantan ada penduduk 17 juta…Kalau digabung Sabah, Sarawak dan Negara Brunei Darussalam kita 23 juta penduduk. Bila ada Nusantara, ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan akan ada 12 juta penduduk, keseluruhan penduduk di Kalimantan berjumlah 30 juta,” katanya.
Beliau berkata, sudah sampai masanya Kerajaan melihat perkara itu dan melakukan perundingan antara Sabah, Sarawak dan Indonesia untuk menjadikan HOB sebagai satu wilayah baharu atau bandar raya baharu.
Ini kerana, katanya, di Kalimantan Utara banyak hasil dan memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak melalui Pelabuhan SOGIP yang akan dibina tidak lama lagi.
Dr Yusof berkata, banyak produk dari Kalimantan Utara boleh dibawa ke Sipitang menerusi Pelabuhan SOGIP yang boleh memberi limpahan ekonomi untuk Sipitang jika laluan Long Pasia – Kalimantan dilaksanakan. – Info X