KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dan Persekutuan disaran bekerjasama melaksanakan inisiatif ‘Tiket Penerbangan Rahmah’ bagi laluan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata ia sebagai langkah mengatasi isu tiket penerbangan yang mahal yang didakwanya sudah sampai ke tahap ‘gaban’ atau keterlaluan.
Beliau mendakwa, pada akhir Oktober lalu saja, harga tiket penerbangan sehala Kelas Ekonomi bagi laluan Kota Kinabalu – Kuala Lumpur mencecah hingga RM1,700, berbanding serendah RM550 hingga RM700 ke Jakarta, Manila dan Singapura .
“Jika kenaikan harga tiket penerbangan domestik ini tidak ditangani secara berhemah, sudah tentu ia menimbulkan bebanan kepada rakyat marhaen yang berurusan di antara Semenanjung dan tiga wilayah Borneo ini.
“Lebih parah lagi, isu ini boleh menjejaskan industri pelancongan domestik, sekali gus menjejaskan integrasi nasional antara rakyat Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sepakat memperkenalkan inisiatif ‘Tiket Rahmah’ bagi penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Jelasnya, jika sebelum ini kerajaan menawarkan ‘Harga Rahmah’ untuk produk makanan kepada pengguna, sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan pula harga ‘Tiket Penerbangan Rahmah’.
Beliau turut mencadangkan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat penerbangan tempatan yang sesuka hati menaikkan harga tiket penerbangan domestik.
“Kita juga mengesyorkan kepada KPDN dan Kementerian Pengangkutan supaya menetapkan harga siling tiket penerbangan domestik terutama pada musim cuti sekolah, hari perayaan seperti Hari Raya, Krismas, Tahun Baharu Cina dan Deepavali, termasuk Kaamatan dan Gawai,” katanya. – Info X