Search

Sidang DUN : Jelapang padi Sabah akan diwujudkan

November 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Empat kluster jelapang padi yang dinamakan Jelapang Padi Sabah akan diwujudkan dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil padi di negeri ini.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Peto Galim, berkata empat kluster terbabit ialah Jelapang Padi Sabah Kluster Utara, Kluster Kinabalu, Kluster Selatan dan Kluster Pedalaman.

Katanya, Kluster Utara merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas; Kluster Kinabalu – Tuaran Penampang dan Ranau; Kluster Selatan – Papar, Membakut dan Sipitang, manakala Kluster Pedalaman – Tambunan, Keningau, Tenom dan Nabawan.

Ketika ini, katanya Kota Belud adalah satu-satunya kawasan jelapang padi diiktiraf di Sabah iaitu merujuk kepada kawasan penanaman padi yang dilengkapi skim pengairan besar dan sempurna dengan keluasan kawasan minimum 4,000 hektar.

“Kementerian melalui Lembaga Padi dan Beras Sabah (SPARB) mempunyai perancangan untuk mewujudkan jelapang padi yang lain dikenali sebagai Jelapang Padi Sabah.

“Ia akan dibangunkan berdasarkan kluster kawasan penanaman padi yang tidak memenuhi syarat 4,000 hektar dalam satu kawasan.

“Sebagai contoh, Kudat mempunyai kawasan sawah padi seluas 343 hektar, Kota Marudu mempunyai 2,800 hektar dan Pitas mempunyai 1,600 hektar.

“Maka tiga kawasan ini akan digabungkan dalam satu kluster Jelapang Padi Sabah Kluster Utara seluas 4,743 hektar,” katanya pafa sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Arsad Bistari (GRS – Tempasuk) saka ada kerajaan mempunyai rancangan mewujudkan zon khas penanaman padi di Sabah. – Info X