KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menafikan pelaksanaan empangan hidro elektrik Ulu Padas di Tenom berdepan masalah berikutan kegagalan kontraktor asal menyiapkan projek itu sejak dimulakan pada 2015.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kelewatan itu bukan disebabkan prestasi syarikat kontraktor utama, Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd (Kerjaya Kagum Hitech) yang dilantik pada awalnya.
Beliau berkata, sebaliknya kelewatan itu berpunca daripada keadaan projek berkenaan yang perlu melalui proses panjang termasuk perubahan pegangan saham, kajian teknikal yang ketat, penangguhan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri serta penularan pandemik COVID-19.
“Terdapat beberapa faktor utama yang perlu difahami, iaitu pertama projek ini dianugerahkan melalui Surat Tawaran Bersyarat oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada 13 Julai 2015, dengan pegangan ekuiti yang terdiri daripada Kerjaya Kagum Hitech sebanyak 60 peratus, Sabah Electricity sebanyak 20 peratus dan Kerajaan Sabah sebanyak 20 peratus.
“Namun, selepas Sabah Electricity menolak pemilikan sahamnya, kerajaan negeri pada 9 Jun 2016 melantik Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) sebagai pemegang saham 40 peratus mewakili kerajaan negeri melalui syarikat tujuan khas iaitu Upper Padas Power Sdn Bhd.

“Keputusan ini memastikan penglibatan penuh kerajaan negeri dalam projek ini untuk kepentingan tenaga jangka panjang Sabah,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Bung Moktar bertanya justifikasi kerajaan membenarkan Kerjaya Kagum Hitech terus terbabit dalam projek itu walaupun gagal melaksanakannya sejak 2015.
Ketua Menteri berkata, syarikat itu kini bukan lagi kontraktor utama projek berkenaan berikutan perubahan pegangan saham yang menyaksikan ia kini hanya memegang 15 peratus saham, manakala selebihnya 45 peratus oleh Gamuda Berhad dan 40 peratus SEC di bawah syarikat pemaju Upper Padas Power Sdn Bhd.
Katanya, sebelum projek itu dapat dimulakan, ia perlu melalui proses penilaian yang ketat yang dimulakan menerusi kajian usaha wajar pada Disember 2015 hingga Mac 2017 oleh pemaju terhadap data kejuruteraan yang dibuat terlebih dahulu oleh Sabah Electricity.
Selepas itu, katanya ia disusuli kajian mendalam termasuk Special Environmental Impact Assessment (SEIA), pelepasan mineral, penyiasatan tanah dan kerja ukur tanah, termasuk kerja Light Detection and Ranging (LiDar) dari Jun 2017 hingga Jun 2019.

Bagaimanapun, katanya pada 1 Oktober 2018, pelaksanaan projek itu ditangguhkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebelum kerajaan negeri pada 25 Julai 2019 memberi kelulusan kepada Upper Padas Power Sdn Bhd untuk meneruskan projek itu dan dibenarkan Kabinet Persekutuan pada 13 Februari 2020.
“Apabila dunia dihambat dengan pandemik COVID-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, sekali lagi pelaksanaan projek ini terjejas iaitu dari 18 Mac 2020 hingga 1 November 2021. Ini secara langsung menghadkan pergerakan sehingga melambatkan kerja-kerja fizikal di lapangan,” katanya.
Hajiji berkata, projek itu akhirnya dimulakan secara rasmi menerusi Majlis Pecah Tanah Projek Empangan Ulu Padas yang disempurnakan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 7 Disember 2023.
Katanya, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 2030 berserta projek penjanaan sedia ada dan dirancang, bagi memastikan jidar simpanan kapasiti penjanaan dikekalkan pada tahap di atas 25 peratus untuk Grid Sabah menghubungkan sistem bekalan elektrik ke seluruh daerah di Sabah dan Labuan.
Projek itu juga katanya disasar dapat mengatasi masalah bekalan air di Sabah menerusi projek Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) yang berpotensi membekal air sebanyak 6,000 juta liter sehari (JLS) dan mampu menampung keperluan hingga 100 tahun. – Info X