Search

Sidang DUN: Keperluan mangsa banjir tidak berpindah ke PPS dilihat kes demi kes

April 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan melihat kes demi kes berhubung kesukaran dihadapi mangsa banjir di Sabah dalam usaha menjaga kebajikan dan memastikan mangsa yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) menerima bantuan sewajarnya.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana mangsa berdepan kesukaran disebabkan bencana itu, termasuk yang tidak berpindah ke PPS.

Katanya, walaupun penyaluran bantuan kepada mangsa dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000, berdasarkan senarai didaftar di PPS, kerajaan negeri juga mempuyai inisiatifnya sendiri.

“Segala bantuan setakat ini disalur melalui NADMA tertakluk kepada Arahan NADMA No 1 yang mana BWI hanya diberi kepada yang berpindah dan didaftar di PPS.

“Jika tidak dapat ke PPS kerana jalan putus dan banjir teruk, maka mereka layak menerima bantuan barang makanan yang akan disampaikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan bantuan agensi penyelamat seperti bomba, polis, tentera, RELA atau APM.

“Namun, saya maklum dan faham kerisuan ada kes yang sebenarnya berlaku seperti disebut, namun ia dapat ditangani kes demi kes.

“Kerajaan tidaklah berlaku zalim hingga rakyat tidak diberi pertolongan, tapi bantuan setakat hari ini tertakluk kepada Arahan No 1 NADMA,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) mengenai nasib mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS ketika sesi soal jawab Persidangan DUN pada Khamis.

Teck Lee meminta kerajaan meneliti semula peraturan yang menetapkan hanya mangsa berpindah ke PPS menerima bantuan berdasarkan situasi mangsa di lapangan.

Sementara itu, menjawab satu lagi soalan tambahan Datuk Jonnybone Kurum (GRS-Telupid) mengenai keperluan dapur di PPS dan logistik banjir di Telupid, Nizam berkata perkara itu boleh dicadangkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Jonnybone membangkitkan perkara itu sebagai penyelesaian kelewatan bantuan makanan dari pihak JKM di PPS menyebabkan mangsa yang dipindahkan terpaksa berlapar.

Katanya, jika ada dapur, penduduk kampung yang dipindahkan ke PPS boleh memasak sendiri dan peralatan itu boleh disimpan oleh APM setelah PPS ditutup.

Beliau turut meminta agar kemudahan logistik seperti perahu dan enjin sangkut disediakan di Telupid bagi memudahkan operasi memindah mangsa banjir tanpa menunggu kemudahan agensi penyelamat dari luar daerah. – Info X