Search

Sidang DUN: Kerajaan cadang adakan Program Kahwin Perdana

December 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bercadang untuk melaksanakan Program Kahwin Perdana sebagai satu usaha membantu golongan kurang berkemampuan dan menggalakkan perkahwinan yang sah, teratur dan menepati kehendak syarak.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata pendekatan proaktif itu sedang dipertimbangkan kerajaan.

Katanya, program seumpama itu bukan saja berupaya meringankan kos perkahwinan, malah dapat menyemai nilai kesederhanaan, keberkatan dan tanggungjawab dalam pembinaan institusi keluarga Islam.

“Pelaksanaan inisiatif ini, sekiranya dipersetujui akan dilaksanakan secara terancang dan berperingkat dengan kerjasama JHEAINS, MUIS, agensi-agensi lain yang berkaitan serta komuniti setempat.

“Ia juga akan memastikan peruntukan undang-undang dan prosedur perkahwinan Islam yang berkuatkuasa di Negeri Sabah sentiasa dipatuhi,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN Sanah, pada Rabu.

Arifin berkata, kerajaan negeri melalui JHEAINS dan MUIS akan terus meneliti, memperhalusi dan melaksanakan dasar-dasar berkaitan hal ehwal kekeluargaan Islam secara berhemah dan realistik.

Katanya, ia selaras dengan keutamaan semasa dan kemampuan kewangan kerajaan negeri demi memastikan kebajikan serta kesejahteraan umat Islam di Sabah sentiasa terpelihara.

Sementara itu Arifin yang juga menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam negeri, berkata Kerajaan Negeri melalui JHEAINS dengan MUIS sentiasa komited memperkukuh institusi kekeluargaan Islam sebagai asas kepada kesejahteraan masyarakat dan kestabilan sosial di Sabah.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri sedang meneliti secara berperingkat cadangan pemberian subsidi yuran Kursus Pra Perkahwinan Islam khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan pasangan muda yang bakal mendirikan rumah tangga.

“Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan di samping memastikan setiap bakal pengantin mendapat pendedahan ilmu kekeluargaan, tanggungjawab dan kefahaman syariah yang mencukupi sebelum melangkah ke alam perkahwinan,” katanya. – Info X