Search

Sidang DUN: ‘Meja Ekonomi Tanjung Keramat’ mudahkan urusan bantuan kewangan

December 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: ‘Meja Ekonomi Tanjung Keramat’ dicadang diwujudkan sebagai plafform sehenti bagi membantu usahawan di Putatan, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (GRS), berkata sasaran pihaknya ialah untuk membantu usahawan mikro melalui bantuan modal kecil dan peralatan.

“Di Tanjung Keramat, kita mempunyai potensi ekonomi tempatan yang luar biasa. Seperti yang saya gariskan dalam Pelan Tindakan, kami bercadang melancarkan inisiatif ‘Meja Ekonomi Tanjung Keramat’ yang berfungsi sebagai platform sehenti untuk memudahkan urusan bantuan usahawan.

“Sasaran kami adalah untuk membantu usahawan mikro melalui bantuan modal kecil dan peralatan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Isnin.

Katanya, beliau tertarik mengenai Pembangunan Ekonomi yang menjadi fokus kerajaan negeri bagi terus memperkasa sektor perindustrian dan keusahawanan.

Beliau menyifatkan peruntukan sebanyak RM194.04 juta kepada Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (KPKP) serta agensi di bawahnya pada tahun depan adalah satu suntikan semangat yang besar buat komuniti perniagaan.

Jelasnya, pengumuman Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun mengenai penerusan Program Bantuan SME-UP dengan peruntukan RM15 juta juga adalah berita yang amat menggembirakan.

“Saya melihat ini sebagai satu sinergi yang sempurna. Di peringkat kawasan, kami akan bertindak sebagai pemudah cara agar mereka dapat mengakses dana SME-UP.

“Kita mahu memastikan tiada seorangpun peniaga kecil yang tercicir daripada menikmati manfaat ekonomi ini,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai Ekonomi Biru (Blue Economy) dan sektor perikanan yang disediakan peruntukan sebanyak RM25.11 juta kepada Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (KoNelayan) pada 2026.

Katanya, ia membuktikan kerajaan serius untuk melakukan transformasi, bukan sekadar memberi subsidi, tetapi memperkasa komuniti nelayan melalui industri akuakultur moden.

“Sebagai sebuah kawasan pesisir pantai, Tanjung Keramat bergantung kepada tiga jeti nelayan kami yang kini menjadi nadi ekonomi penduduk setempat.

“Justeru, besar harapan saya agar peruntukan daripada KoNelayan ini dapat disalurkan segera. Dana ini amat kritikal untuk menaik taraf fasiliti jeti yang sedia ada supaya lebih selamat, selesa dan mampu menampung kapasiti pendaratan ikan yang semakin meningkat.

“Saya juga menyeru Ko-Nelayan untuk turun padang dan berganding bahu dengan inisiatif ‘Meja Ekonomi Tanjung Keramat’.

“Melalui usahasama ini, kita dapat menyegerakan proses saringan penerima layak dan memastikan bantuan peralatan dan sumbangan berkaitan sampai kepada rakyat tanpa halangan birokrasi yang merumitkan,” katanya. – Info X