KOTA KINABALU: Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 yang berlangsung empat hari bermula Isnin depan mungkin yang terakhir sebelum ia dibubarkan.
Berikutan itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia bukan persidangan rutin, sebaliknya persidangan yang penting untuk membahaskan isu rakyat secara terbuka.
Beliau berkata, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak wajar memperkecilkan suara dan tuntutan rakyat yang mahukan penjelasan telus, menyeluruh dan bertanggungjawab dalam isu besar yang sedang melanda pentadbiran negeri.
“Sidang DUN yang berlangsung minggu depan bukan sekadar sidang rutin. Ini berkemungkinan besar sidang terakhir sebelum pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Justeru, ia perlu dijadikan medan terbaik untuk membahas isu-isu rakyat secara terbuka, bukan sebagai pentas untuk menyusun naratif politik atau menyembunyikan kelemahan.
“Tidak wajar untuk mana-mana pihak berdiam diri terhadap segala kepincangan yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Peranan semak dan imbang mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, khususnya dalam hal berkaitan pelaburan, perjanjian ekonomi, pengurusan hasil bumi termasuk tanah dan sumber mineral serta projek pembangunan yang menbabitkan dana besar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata Sabah tidak boleh terus menjadi negeri yang ‘kaya atas kertas’, sedangkan rakyat masih bergelut dengan kesusahan, pengangguran dan jurang pembangunan yang semakin melebar antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Segala persoalan yang membelenggu rakyat wajar dibawa ke sidang DUN. Sebarang cubaan untuk meminggirkan suara pembangkang menggunakan kuasa majoriti tidak harus berlaku.
“Dewan ini bukan tempat menyusun skrip politik tetapi medan untuk menjawab persoalan rakyat secara jujur dan terbuka,” katanya.
Tegasnya, jika kerajaan GRS tidak bersalah atau tiada apa yang mahu disembunyikan, ia perlu membuktikannya dengan fakta dan data.
Katanya, kerajaan tidak wajar memberi alasan atau lari daripada perbahasan, sebaliknya membuka ruang perbincangan seluas-luasnya.
“Semua wakil rakyat, sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang perlu mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat mengatasi kepentingan individu atau parti.
“Banyak persoalan masih belum terjawab, rakyat Sabah sedang menunggu. Jangan kecewakan mereka lagi,” katanya. – Info X