KOTA KINABALU: Sabah merekodkan pertumbuhan 28.3 peratus sektor pelancongan sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini dengan anggaran nilai perbelanjaan pelancongan mencecah RM5.62 bilion.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew, berkata jumlah itu disumbang menerusi ketibaan lebih 2.4 juta pelancong antara Januari hingga September tahun ini.
“Ini adalah satu peningkatan yang memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan sebanyak 28.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Negara China menjadi sumber terbesar ketibaan pelawat antarabangsa dengan menyumbangkan sebanyak 39 peratus ketibaan pelancong, diikuti dari Brunei dan Korea Selatan.
“Peningkatan yang ketara ini didorong oleh jumlah penerbangan pada tahun ini, yang mana 98 peratus ketibaan ke Sabah adalah melalui pengangkutan udara,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, petang semalam.
Christina berkata, ketika ini Sabah dihubungkan dengan Semenanjung melalui 377 penerbangan domestik yang mempunyai 66,546 kapasiti tempat duduk seminggu.
Bagi sektor antarabangsa, katanya ketika ini sebanyak 17 destinasi antarabangsa dihubungkan dengan Sabah menerusi 126 penerbangan seminggu dan 23,394 kapasiti tempat duduk.
“AirAsia menjadi syarikat penerbangan utama yang menyediakan perkhidmatan penerbangan antarabangsa dengan menghubungkan Sabah kepada 15 destinasi antarabangsa.
“Selain itu, Sabah juga bakal menerima empat lagi penerbangan laluan terus antarabangsa pada bulan ini dan Disember depan,” katanya.
Christina berkata, sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026, kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) melancarkan kempen ‘Explore Sabah’ untuk dilaksanakan sepanjang tahun depan.
Katanya, kempen itu yang dilancarkan ketika penyertaan Sabah pada acara pelancongan berprestij dunia ‘World Travel Mart’ di London pada 4 hingga 6 November lalu bertujuan memperkenalkan produk pelancongan Sabah melalui kebudayaan, pengembaraan dan alam semula jadi.
Selain itu, beliau berkata, acara Climbathon Gunung Kinabalu pada tahun depan juga akan diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi apabila dimasukkan dalam kalender Skyrunner World Series.
“Acara ini akan menjadi salah satu hentian dalam siri larian antarabangsa yang mana pelari di bawah International Skyrunning Federation (ISF) di seluruh dunia akan menyertai acara ini sebagai salah satu syarat untuk dinobatkan sebagai pelari terbaik di dunia.
“Acara ini sememangnya dalam agenda kementerian untuk menonjolkan keistimewaan Sabah sebagai UNESCO ‘Triple Crown’,” katanya. – Info X