Search

Sidang DUN: Shafie persoal kedudukan kewangan negeri

July 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini ditanya mengenai kedudukan kewangannya apabila membentangkan Perbekalan Tambahan 2025 bernilai lebih RM1.18 bilion.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sebelum ini kerajaan negeri sudah membentangkan belanjawan 2025 bernilai RM6.7 bilion.

“Setelah mendengar pembentangan Menteri Kewangan, saya bimbang apa yang berlaku bukan hanya di dunia dan negara kita, khususnya di peringkat Sabah. Sabah antara wilayah yang paling banyak belanja.

“Dalam belanjawan tahun ini yang dibentang sebelum ini, lebih RM6.7 bilion dan sekarang RM1.18 bilion ditambah, jadi semuanya hampir RM8 bilion,” katanya ketika membahaskan Perbekalan Tambahan 2025 pada Persidangan. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Ketua pembangkang DUN Sabah itu meluahkan kebimbangannya mengenai kemungkinan kerajaan berdepan masalah defisit berikutan turut menghadapi hutang yang besar.

Presiden Parti Warisan itu juga mempersoalkan sama ada peruntukan yang dikeluarkan kerajaan negeri itu disalur untuk keperluan rakyat dan memberikan hasil.

“Apa yang penting adakah peruntukan ini disalur untuk mengatasi keperluan rakyat dan dapat hasilnya. Ini kerana setiap sen yang dibelanjakan mesti ada hasil,” katanya.

Mohd Shafie turut menyentuh mengenai keperluan asas rakyat, terutama air sehingga ada demonstrasi dibuat bagi meminta pihak berwajib menyelesaikan masalah itu.

Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Semporna itu menyatakan perlunya pihak audit menyiasat perbelanjaan kerajaan berikutan ada jumlah yang besar seperti diagihkan untuk Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri: Tugas-Tugas Khas bagi melaksanakan program bantuan pendidikan.

Katanya, siasatan audit perlu memandangkan ia membabitkan duit rakyat yang diperolehi menerusi bayaran pelbagai jenis cukai.

Dalam pada itu, Shafie turut mendakwa wujud program yang menawarkan cabutan tiket bertuah dan perhimpunan yang dibiayai menggunakan peruntukan kerajaan atau duit rakyat. – Info X