KOTA KINABALU: Kerajaan negeri kini dalam proses untuk meneliti semua Cukai Jualan Negeri (CJN) dalam usaha menggalakkan syarikat membuat aktiviti hiliran di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kajian mengenai perkara itu dibuat, termasuk sudah mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan.
“Kita dalam proses meneliti semua CJN yang dikenakan pada masa ini untuk menggalakkan syarikat buat hiliran di Sabah.
“Contohnya CJN ke atas minyak sawit, kita buat kajian dan telah mengdakan libat urus dengan stakeholder pada Jun bagaimana mereka yang ingin proses minyak di Sabah mungkin tidak dikenakan CJN atau dikenakan pada kadar munasabah,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN, di sini, pada Selasa.
Beliau menambah jawapan bagi soalan tambahan Datuk Donald Mojuntin (UPKO-Moyog) mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Sabah.
Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata SST dikutip kerajaan Persekutuan, manakala CJN dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri.
Sementara itu, menjawab soalan asal Donald mengenai kutipan cukai jualan, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Ben Chong, berkata kerajaan negeri mengutip RM1.45 bilion CJN bagi tahun ini setakat 30 Jun lalu.
Katanya, jumlah itu bersamaan 55 peratus daripada anggaran hasil CJN untuk tahun ini.
“Daripada jumlah itu CJN produk petroleum berjumlah RM679.45 juta; minyak kelapa sawit termasuk biojisim kelapa sawit (RM703.55 juta) dan komoditi perikanan (RM4.22 juta).
“Bagi sektor perhutanan, setakat ini sektor tersebut tidak tertakluk kepada pengenaan Cukai Jualan Negeri,” katanya. – Info X