Search
Search
Close this search box.

Sidang DUN: Upah Pekerja Sambilan Harian naik mulai 1 Disember

November 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menaikkan kadar upah penjawat awam negeri berstatus Pekerja Sambilan Harian (PSH) berkuat kuasa 1 Disember ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kenaikan upah itu berdasarkan kelayakan akademik dengan kenaikan tertinggi RM34 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), disusuli lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebanyak RM31.

Menerusi kenaikan itu, katanya upah kakitangan PSH kerajaan negeri bagi lepasan SPM bermula 1 Disember ini naik kepada RM80 sehari berbanding RM54 sehari sebelum ini, manakala RM75 sehari berbanding kadar asal RM44 sehari bagi lepasan PMR.

Berikutan itu, katanya pendapatan bulanan baharu kakitangan PSH kerajaan negeri bermula bulan depan ialah RM1,840 bagi lepasan SPM dan RM1,725 sebulan bagi lepasan PMR.

“Kerajaan negeri menaikkan kadar upah Pekerja Sambilan Harian (PSH) di peringkat Perkhidmatan Awam Negeri berkuat kuasa pada 1 Disember 2024.

“Kadar upah Pekerja Sambilan Harian bagi kelayakan akademik PMR dinaikkan daripada RM44 sehari kepada RM75 sehari atau RM1,725 sebulan, manakala kelayakan akademik SPM dinaikkan daripada RM54 sehari kepada RM80 sehari atau RM1,840 sebulan.

“Bagi kelayakan akademik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau diploma, upah mereka dinaikkan daripada RM72 sehari kepada RM85 sehari atau RM1,955 sebulan, manakala kelayakan akademik ijazah dinaikkan daripada RM100 sehari kepada RM105 sehari atau RM2,415 sebulan,” katanya ketika menggulung perbahasan Jabatan Ketua Menteri Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, petang semalam.

Beliau berkata kenaikan upah kakitangan berstatus PSH itu sejajar kajian semula gaji perkhidmatan awam negeri, termasuk untuk PSH.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan memaklumkan majikan swasta di Sabah bagi melaksanakan kadar gaji minimum yang baharu apabila ia dikuatkuasakan bermula Februari depan.

Sebelum ini, kerajaan Persekutuan mengumumkan kenaikan gaji minimum swasta kepada RM1,700 sebulan berbanding RM1,500 sebulan ketika ini. – Info X