Search

Sindiket seludup ayam sabung, rokok RM12.3 juta tumpas

July 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah menumpaskan dua sindiket penyeludupan membabitkan rokok dan ayam sabung menerusi sembilan serbuan dalam tempoh lima hari, dengan rampasan keseluruhan bernilai RM12.3 juta.

Serbuan bermula pada 25 hingga 29 Julai lalu itu dijalankan di Tuaran, Beluran, Sandakan dan Tawau, membabitkan kekuatan anggota Task Force Perisikan PGA dan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Hidupan Liar, Jabatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan.

Komander Briged Sabah PGA Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Rani Alias berkata, serbuan pertama pada 25 Julai lalu menyaksikan seorang lelaki tempatan ditahan bersama 3.1 juta batang rokok putih dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Turut dirampas sebuah treler digunakan untuk mengangkut rokok seludup. Jumlah nilai rampasan termasuk cukai dianggarkan RM5.57 juta.

“Tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, serbuan susulan yang dijalankan antara 27 hingga 29 Julai pula berjaya menahan lapan individu iaitu lima lelaki tempatan, dua warga Indonesia dan seorang lelaki warga Filipina, kerana menternak dan menyimpan ayam sabung tanpa permit sah, dipercayai untuk tujuan pertaruhan.

Katanya, dalam operasi ini, PGA berjaya merampas 1,637 ekor ayam sabung baka Filipina bernilai RM6.6 juta serta ubat-ubatan dan peralatan lain dianggarkan bernilai RM163,000.

“Semua tangkapan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Hidupan Liar untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Enakmen Hidupan Liar 1997 serta beberapa peruntukan undang-undang lain.

“Secara keseluruhan, sembilan suspek ditahan dalam operasi ini membabitkan enam lelaki tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Filipina,” katanya.

Abdul Rani berkata, sementara kejayaan rampasan beserta cukai dianggarkan bernilai RM12,359,318.

“Hasil operasi ini dipercayai berjaya memutuskan rangkaian sindiket pengedaran dan penyeludupan rokok serta penyeludupan ayam sabung dari Filipina secara tidak sah di kawasan Pantai Barat dan Timur Sabah.

“Kejayaan ini juga menunjukkan komitmen berterusan Briged Sabah PGA dalam membanteras segala bentuk jenayah rentas sempadan dan aktiviti haram di negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyeludupan dan mendapatkan permit sah sebelum menternak ayam bagi mengelakkan sebarang salah laku.

“PGA Briged Sabah akan terus komited menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab demi menjaga keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Info X