Search

Singking Fund bayar bon RM1 bilion hanya ada RM400 juta – Shafie

August 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan Kumpulan Wang Amanah Bagi Pembayaran Balik Bon atau Singking Fund untuk membayar balik bon RM1 bilion mempunyai jumlah yang banyak bagi melunaskan hutang kerajaan negeri itu apabila tempoh bonnya matang pada 2019.

Sebaliknya, beliau mendakwa hanya ada kira-kira RM400 juta dalam Sinking Fund itu ketika Warisan mengambil alih kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN) pada 2018.

Bekas Ketua Menteri itu berkata jumlah berkenaan hanya 40 peratus daripada nilai prinsipal bon RM1 bilion yang dibuat kerajaan terdahulu, iaitu kira-kira setahun lagi sebelum tempoh bon itu matang.

Menjawab dakwaan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, Shafie berkata kerajaan Warisan pimpinannya ketika itu perlu mencari RM600 juta lagi bagi melangsaikan bon atau hutang berkenaan, tidak termasuk kadar faedah yang dikenakan ke atas bon terbabit.

“Saya mengambil maklum kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun yang cuba memperkecilkan fakta bahawa di bawah kepimpinan saya pada tahun 2019, Kerajaan Negeri Sabah telah melunaskan sepenuhnya hutang bon berjumlah RM1 bilion yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

“Beliau cuba menggambarkan seolah-olah bayaran balik tersebut berlaku dengan sendirinya, seakan-akan Warisan hanya duduk diam dan hutang itu terbayar sendiri. Hakikatnya, itu tidak benar.

“Fakta sebenarnya ialah apabila Warisan mengambil alih pada tahun 2018, hanya terdapat kira-kira RM400 juta dalam Dana Pembayaran Balik Bon (Sinking Fund), iaitu setahun sebelum bon itu matang.

“Jumlah ini hanyalah sekitar 40 peratus daripada apa yang diperlukan untuk membayar balik prinsipal bon, belum lagi termasuk faedah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Masidi menyifatkan dakwaan Shafie yang mengatakan kerajaan pimpinannya pada 2019 berjaya membayar hutang kerajaan terdahulu sebanyak RM1 bilion sebagai tidak tepat.

Beliau sebaliknya berkata kerajaan pimpinan Warisan pada masa itu hanya melengkapkan jumlah wang sedia ada yang dimasukkan dalam Kumpulan Wang Amanah Bagi Bayaran Balik Bon atau Singking Fund berjumlah RM200 juta setahun untuk tempoh lima tahun bermula pada 2014.

Katanya, dakwaan Shafie yang mahu menunjukkan bahawa kerajaan pimpinannya sebelum ini sebagai pengurus kewangan yang baik, sebenarnya bertentangan dengan fakta yang sebenar.

Mengulas lanjut, Shafie berkata dakwaan bahawa BN telah memperuntukkan RM1 bilion dalam Singking Fund adalah tidak benar.

“Masidi dalam kenyataannya berkata kerajaan BN sebelum itu diwajibkan memperuntukkan RM200 juta setahun ke dalam Dana Pembayaran Balik Bon dari 2014
hingga 2019.

“Dakwaannya bahawa BN telah ‘memperuntukkan’ RM1 bilion adalah tidak benar. Menjelang 2018, baki utama yang masih perlu dibayar adalah kira-kira RM600 juta yang perlu dicari dalam tempoh beberapa bulan saja.

“Bayaran balik bon bukan sekadar prinsipal RM1 bilion, tetapi turut merangkumi bayaran;faedah, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran balik melebihi RM1 bilion,” katanya.

Ahli Parlimeb Semporna itu berkata ia bermaksud Warisan perlu mendapatkan bukan saja baki prinsipal RM600 juta, tetapi juga dana tambahan untuk menampung faedah.

Semua itu, katanya perlu diperolehi dalam tempoh setahun selepas Warisan mengambil alih kerajaan daripada BN.

“Melalui pengurusan kewangan berhemat, kawalan kos dan pengagihan semula sumber, Warisan telah meningkatkan Dana Pembayaran Balik Bon daripada RM400 juta kepada RM1 bilion dalam tempoh setahun.

“Ini memastikan bon tersebut dapat dilunaskan sepenuhnya mengikut jadual,” katanya. – Info X