Search

SITUASI JENAYAH SABAH TERKAWAL

May 27, 2022

admin

KOTA KINABALU: Keputusan negara melonggarkan sekatan perjalanan sejak April lalu dilihat antara punca kenaikan sebanyak 50 peratus kadar jenayah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, jumlah berkenaan bagaimanapun masih berada pada tahap rendah berbanding catatan kes tempoh sama sebelum penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara.

“Jumlah kes berkenaan masih berada di bawah kawalan malahan sebaliknya menurun berbanding tempoh sama tahun sebelum penularan Covid-19.

“Polis Sabah akan sentiasa melaksanakan operasi pencegahan kes jenayah dari semasa ke semasa.

“Oleh itu, orang ramai tidak perlu takut dan risau kerana semua kawasan di seluruh Sabah dalam keadaan terkawal,” katanya selepas menghadiri acara Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Idris menyatakan pihaknya juga akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan kes jenayah terus berada pada paras terkawal.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung majlis berkenaan, Idris berkata perbarisan tamat latihan hari ini dihadiri oleh seramai 299 orang pelatih lelaki dari pelbagai daerah di seluruh Sabah.

“Seramai 14 pelatih memiliki Ijazah, 45 pelatih memiliki Diploma, 67 pelatih memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan selebihnya berkelulusan SPM.

“Ini membuktikan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukanlah pilihan kerjaya yang terakhir bagi anak-anak muda,” katanya.

“Mereka mula menjalani latihan asas konstabel di Pusat Latihan Polis Kota Kinabalu, bermula pada 28 November 2021 dan tamat pada hari ini,” katanya. – Info X