KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) meletakkan harapan untuk melihat skuad bola sepak wanita Sabah FA berjaya membawa nama Malaysia memasuki kumpulan lapan teratas bola sepak wanita Asia.
Presidennya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata tidak mustahil skuad bimbingan Justin Ganai itu mampu mencipta kemenangan pada aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2024 di Wuhan, China.
Jelasnya, kesungguhan ditunjukkan mereka dalam pusingan awal di Stadium Likas sebelum ini membuktikan kehebatan skuad wanita untuk mengulangi kejutan pada kejohanan yang bermula 3 Oktober hingga 9 Oktober itu.
“Untuk peringkat kumpulan di Wuhan ini, ada empat negara, satu daripadanya adalah Malaysia yang diwakili oleh pasukan wanita Sabah FA.
“Sekiranya mereka dapat memenangi satu daripada tiga perlawanan di Wuhan ini, maka itu akan melayakkan mereka ke peringkat seterusnya iaitu kumpulan lapan teratas bagi peringkat Asia.
“Jadi, selaku Presiden SAFA, saya amat berbangga dan gembira melihat prestasi pasukan wanita kita yang pada tahun lalu menjuarai peringkat kebangsaan dan tahun ini melayakkan diri mereka di peringkat AFC.
“Sekiranya mereka dapat layak ke peringkat lapan teratas, itu adalah satu pencapaian yang begitu baik sekali,” katanya selepas menemui pemain pasukan wanita Sabah FA yang berlepas ke Wuhan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) petang tadi.
Mereka dijadual bertemu kelab wanita dari China, Korea Selatan dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) bermula 3 Oktober hingga 9 Oktober ini.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata apa yang penting pemain yang mewakili negara itu ke kejohanan antarabangsa itu sentiasa mengekalkan disiplin dan semangat.
“Buktikan bahawa mereka boleh bersaing dan mendengar segala arahan yang diberikan oleh pihak pengurusan dan Ketua Jurulatih,” katanya. – Info X