KOTA KINABALU: Pasukan bola sepak wanita Sabah FA menambah dua lagi pemain import, selain mengekalkan gandingan pemain sedia ada bagi menghadapi saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) di China, bulan depan.
Pengendalinya, Justin Ganai, berkata tambahan pemain import itu penting bagi menghadapi cabaran perlawanan AWCL yang dijangka sukar bagi pasukan baharu seperti Sabah FA.
Katanya, beliau menyedari kualiti pemain lawan, khususnya dari China, Korea Selatan dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) bukan tandingan bagi pemain skuad wanita bimbingannya yang baru saja melayakkan diri ke perlawanan antarabangsa.
“Bagi saya, semua pemain menjadi sandaran pasukan, cuma saja kita beruntung sebab kita mempunyai pemain import yang mengimbangi keseluruhan pasukan.
“Kalau tiada pemain import, kita memang ‘terkapai- kapai’. Kita tahu kualiti di sana.
“Seperti yang kita lihat dalam perlawanan kelayakan di Likas hari itu, Nepal dan Uzbekistan begitu mantap. Jadi di sana lebih mantap lagi, kita jangka lebih mantap daripada itu,” katanya ditemui selepas menerima tajaan jersi daripada Lembaga Pelancongan Sabah (STB), di sini.
Sabah mengikat dua lagi pemain import dari Jepun, Aoi Kizaki dan Saki Ueno, kedua-duanya pakar pertahanan dalam kelab liga wanita Jepun.
Dalam perlawanan pusingan awal Kumpulan C AWCL di Stadium Likas pada akhir Ogos lalu, skuad Sabah FA diperkuat pemain import Eri Narita dan Misaki Nakayama juga dari Jepun, manakala seorang lagi ialah Win Theingi Tun dari Myanmar.
Ia menjadikan lima pemain import dengan empat dari Jepun membarisi skuad wanita Sabah FA dalam misi ke China bulan depan.
Justin berkata, kapten bola sepak wanita kebangsaan, Steffi Sarge Kaur dan penyerang wanita kebangsaan, Intan Sarah Anisah Zulgafli atau Intan Serah juga kembali bermain bersama Sabah FA.
“Intan dan Steffi akan menyertai latihan bersama pasukan mulai 29 September sebab mereka juga mempunyai jadual Liga Wanita Nasional (LWN) untuk Kelana United di Semenanjung,” katanya.
Sementara itu, Justin berkata, sama seperti perlawanan pusingan awal AWCL di Stadium Likas pada Ogos lalu, beliau tidak meletakkan apa-apa sasaran untuk skuad wanita Sabah FA sepanjang berasksi di Wuhan, China nanti.
“Kita tidak meletakkan harapan yang tinggi. Sebab kita tahu kemampuan kita, tapi itu bergantung kepada pasukan yang kita lawan nanti.
“Walau macmanapun kita akan buat yang terbaik seperti yang kita buat baru-baru ini, mana tahu ada keajaiban sekali lagi,” katanya.
Pada pusingan awal AWCL di Stadium Likas akhir Ogos lalu, skuad wanita Sabah FA berjaya menjuarai saingan Kumpulan C selepas mencipta kejutan menewaskan Uzbekistan 2-1 pada perlawanan ketiga.
Justin mengakui pasukan bimbingannya kurang bersedia dari segi latihan untuk menghadapi saingan peringkat kumpulan AWCL, namun tetap akan berusaha untuk melakukan yang terbaik.
“Persediaan kita sebenarnya tidaklah begitu baik sebab masa yang suntuk. Kita baru saja selesai empat perlawanan LWN di Semenanjung, berada di sana selama 12 hari.
“Kembali di sini, kita cuma ada lima hari untuk latihan sebelum berlepas ke China pada 30 September ini.
“Jadi, itu adalah persediaan yang sangat suntuk. Walau macam manapun, kita cuba yang terbaik menyusun strategi untuk dibawa ke China,” katanya. – Info X