PENAMPANG: Pasukan Sekolah Menengah St Michael (SMSM) muncul juara Kejohanan Mini Ragbi SMSM Piala Datuk Ewon Benedick yang berlangsung di Padang B, Kompleks Sukan Penampang, di sini, pada Sabtu.
Pasukan Bawah 15 Tahun (B-15) SMSM itu dinobatkan sebagai juara selepas menang bergaya di final bertemu SM La Salle.
Kategori lelaki yang diadakan secara 10 sebelah itu turut menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau muncul sebagai pemenang tempat ketiga.
Bagi kategori wanita B-16 (7 sebelah) pula, pasukan Lioness A menunjukkan ‘taring’ mereka apabila berjaya muncul juara menewaskan SMSM A di final.

Tempat ketiga bagi kategori itu pula dimenangi SMK Takis.
Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan sendiri oleh Ahli Parlimen Penampang. Datuk Ewon Benedick.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam ucapannya sempena penutupan kejohanan itu berharap, program sedikian akan terus diadakan dari semasa ke semasa.

“SM St Michael sangat dekat di hati saya kerana ini sekolah lama saya dulu, saya harap kejohanan seperti ini tidak terhenti setakat di sini, saya yakin ini baru permulaan untuk banyak lagi kejohanan dan program pada masa akan datang,” katanya.
Turut hadir pada majlis penutupan itu ialah Pengetua SMSM Jennifer Asing.Terdahulu sebanyak enam pasukan telah menyertai kejohanan yang julung kali diadakan itu. – Info X