KUALA LUMPUR: Taktik licik sindiket dadah menyembunyikan bahan terlarang dalam tin makanan sebelum dihantar ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier terbongkar dalam operasi besar-besaran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kegiatan itu dikesan menerusi Op Icerya hasil kerjasama risikan antara agensi sebelum tiga siri serbuan dilancarkan di sekitar Seri Kembangan dan Bukit Jalil.
“Dalam operasi ini, lima individu ditahan membabitkan seorang lelaki tempatan serta empat warga asing.
“Polis turut merampas 61 kilogram methamphetamine bernilai kira-kira RM3.05 juta selain menyita harta berjumlah RM79,000,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan taktik menyembunyikan dadah dalam tin makanan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sebelum dihantar ke Sabah melalui perkhidmatan kurier.
Beliau berkata, operasi itu antara empat gerak gempur bersepadu dijalankan JSJN di Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Perlis yang berjaya menumpaskan sindiket tempatan serta antarabangsa.
Dalam Op Hemiptera, dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’ dan penjaga stor ditahan selepas sindiket dikesan menjadikan kenderaan sebagai stor bergerak.
“Rampasan membabitkan 616.12 kilogram methamphetamine, 6.4 kilogram pil Erimin 5 serta 0.8 liter fentanyl dengan nilai keseluruhan RM31.57 juta,” katanya.

Sementara itu, Op Langka menyaksikan 231 serbuan dilakukan dengan 191 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah termasuk membabitkan warga tempatan dan asing.
Dalam Op Conops pula, tujuh individu ditahan selepas sindiket dikesan menggunakan kondominium sebagai pusat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke dalam serta luar negara.
“Rampasan melibatkan 170.74 kilogram bunga ganja dan 7.04 kilogram ganja bernilai RM13.68 juta,” katanya.
Hussein berkata, keseluruhan operasi berkenaan mencatatkan jumlah rampasan dan sitaan mencecah RM49.2 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
Beliau menegaskan JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – Info X