Search

Sorok hampir empat tan tepung, gula subsidi dalam premis tidak berlesen

June 11, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Taktik menyimpan hampir empat tan barang kawalan bersubsidi di sebuah premis tidak berlesen di daerah ini terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), semalam.

Dalam operasi di sekitar Pekan Semporna itu, pelbagai jenis tepung gandum dan gula pasir kasar yang dipercayai disimpan tanpa kebenaran Pengawal Bekalan berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan RM13,137.28.

Rampasan terbabit kemudian diserahkan oleh Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.

KPDN Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, sitaan membabitkan 59 kotak Tepung Gandum Cap Kuda seberat 590 kilogram, 249 kotak Tepung Gandum Cap Lili seberat 2,539.8 kilogram serta 34 karung Tepung Gandum Cap Kuda seberat 850 kilogram.

“Turut dirampas sebanyak 47 bundle gula pasir kasar jenama Prai seberat 1,128 kilogram yang ditemui disimpan di dalam premis berkenaan.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung pemilikan dan penyimpanan barang kawalan terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen atau kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan barang kawalan berjadual.

“Susulan itu, KPDN Semporna membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, KPDN berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi kerana perbuatan itu boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna yang layak.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi syarikat pula, hukuman yang boleh dikenakan adalah denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya. – Info X