Search

Speaker DUN ingatkan ADUN tidak politikkan ucapan TYT

April 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya tidak mempolitikkan Ucapan Dasar Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman yang disampaikan pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima DUN Sabah Yang Ke-16, hari ini.

Beliau berkata, peringatan itu ditujukan kepada semua pihak sama ada backbenchers atau pembangkang agar tidak membangkitkan isu yang tidak berkaitan dengan intipati ucapan Tuan Yang Terutama (TYT).

“Untuk sidang pada kali ini lebih-lebih lagi kita baru di pertengahan Syawal, kita harap tenang dalam perbahasan dan bangkitkan benda-benda yang bernas dan hanya isu yang disentuh oleh TYT Tun.

“Dari segi teknikal, seseorang ADUN hanya boleh membahaskan apa yang dibangkitkan oleh TYT Tun dalam ucapan dasar dan isu-isu yang dibangkitkan, di luar daripada itu untuk apa dibangkit kalau tidak disentuh oleh beliau.

“Jadi, saya mengharapkan semua ADUN tidak perlu bangkitkan perkara-perkara yang di luar dan tidak sesuai dan jangan gunakan ucapan dasar TYT untuk platform politik persediaan pilihan raya, ini kepada kedua-dua pihak sama ada backbenchers ataupun pihak pembangkang, jangan dipolitikkan,” katanya.

Kadzim yang ditemui di pejabatnya pada Rabu turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan sidang pada kali ini akan berlangsung panas dan ia adalah sidang yang terakhir sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

“Sama ada yang terakhir atau tidak, saya pun tidak tahu bila sidang terakhir sebab saya jangka masa bajet itu yang terakhir rupanya ada perasmian DUN lagi.

“Tapi dari segi panas itu, bagi saya ia bukanlah panas tapi semangat dan pada akhirnya tidak ada perkara-perkara yang melebihi batas,” katanya.

Kadzim berkata, Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Sabah Yang Ke-16 akan berlangsung selama empat hari minggu depan bermula dengan perbahasan, diikuti penggulungan ke atas ucapan dasar Tun Musa sebelum pembentangan empat Rang Undang-Undang (RUU).

Katanya, tiga daripada RUU terbabit adalah pindaan berkaitan undang-undang tanah, hutan dan perumahan manakala, RUU baharu mengenai baja pula akan dibentang pada hari terakhir sidang DUN. – Info X