Search

SPM 2025: 605 pelajar di Sabah catat semua kombinasi A

March 31, 2026

Info X Reporters

RANAU: Seramai 605 pelajar di Sabah mencatat keputusan semua A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Jumlah itu merangkumi pelajar yang mencatat semua kombinasi A, iaitu A+, A dan A-, meningkat 25 orang berbanding SPM 2024.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Raisin Saidin, berkata jumlah itu mewakili 1.63 peratus daripada 37,036 jumlah calon SPM Kementerian Pendidikan (KPM) 2025 di Sabah.

Bagaimanapun, katanya hanya tiga pelajar mencatat keputusan semua A+ pada SPM 2025, berbanding enam pelajar pada SPM 2024.

“Sukacita saya memaklumkan bahawa bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu semua gred A+ dalam semua mata pelajaran adalah seramai tiga orang pada SPM 2025 berbanding enam orang pada SPM 2024.

“Bilangan calon yang memperoleh
kombinasi gred A+, A dan A- pula seramai 605 orang (1.63%) pada SPM 2025 berbanding dengan 580 orang (1.64%) pada SPM 2024.
Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 25 orang (0.01%),” katanya.

Beliau berkata demikian pada pengumuman keputusan SPM 2025 bagi negeri Sabah di SMK Agama Mohamad Ali, di sini, pada Selasa.

Sementara itu, katanya seramai 6,150 orang (16.61%) calon memperolehi sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada
SPM 2025 berbanding 3,437 orang (9.74%) pada SPM 2024.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan seramai 2,713 orang (6.87%).

“Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam
semua mata pelajaran adalah seramai 14,533 orang (39.24%) pada SPM 2025 berbanding 13,265 orang (37.64%) pada SPM 2024.

“Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 908 orang (1.60%),” katanya.

Sementara itu, katanya indeks Gred Purata Negeri (GPN) bagi Sabah pada SPM 2025 lebih baik dengan nilai 4.85 mata, berbansing 5.00 mata pada SPM 2024.

“Sukacita saya memaklumkan bahawa secara keseluruhannya, pencapaian calon SPM 2025 bagi negeri Sabah berdasarkan indeks GPN adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Nilai GPN SPM 2025 bagi negeri Sabah ialah 4.85 mata berbanding
dengan 5.00 mata pada SPM 2024, iaitu mengecil sebanyak 0.15 mata,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya seramai 34,737 orang (95.60%) calon sekolah KPM di Sabah layak dianugerahkan sijil pada SPM 2025 berbanding 32,501 orang (94.68%) pada SPM 2024.

Angka itu, katanya menunjukkan
peningkatan seramai 2,236 orang (0.92%). – Info X