Search

SPRM tahan bekas pengarah disyaki minta, terima rasuah RM110,000

January 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM110,000 daripada beberapa syarikat yang mendapat projek pembekalan dengan agensi tempat suspek bertugas.

Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada awal 2024 dan meminta rasuah untuk pegawai-pegawai di bawah seliannya.

“Suspek juga disyaki menerima suapan dalam bentuk barangan seperti mesin basuh, komputer riba, tablet, telefon pintar, gitar elektrik, peralatan gim, aksesori kereta dan pembayaran untuk pembelian motosikal,” katanya.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“SPRM turut menyita dan merampas semua barangan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun tambah beliau, suspek akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil. – Info X