KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lelaki kerana disyaki memperdaya seorang kontraktor untuk memberikan wang rasuah kira-kira RM150,000 sebagai balasan bagi mendapatkan projek pembaikan di sebuah sekolah di Beluran.
Menurut sumber, suspek yang berusia lingkungan 60 tahun dan bekerja sendiri itu meminta serta menerima wang rasuah berkenaan.
“Ia kononnya bagi membantu kontraktor berkenaan mendapatkan projek berkenaan yang bernilai kira-kira RM1.5 juta sedangkan projek berkenaan tidak wujud.
“Kejadian berkenaan dilakukan suspek sekitar 2019 iaitu supek menyatakan akan membantu mangsa untuk mendapatkan projek berkenaan,” katanya, hari ini.
Sumber berkata, suspek ditahan di Pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 10.30 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu, esok,” katanya. – Info X