Search

SPRM tahan penjawat awam, pesara disyaki minta dan terima rasuah RM66,000

June 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu, membabitkan penjawat awam dan pesara sebuah jabatan kerajaan, hari ini.

Penahanan kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM66,000.

Pemberian rasuah berkenaan dikatakan sebagai dorongan untuk memproses permohonan tanah dan melakukan bancian lot tanah.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60-an itu ditahan kira-kira antara jam 10 hingga 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan sekitar tahun 2016 walaupun kedua-duanya tiada kelayakan untuk memproses permohonan dan juga tidak memiliki lot tanah untuk tujuan bancian.

“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek dipercayai menerima suapan berjumlah kira-kira RM54,000 dan RM12,000 setiap seorang daripada beberapa individu.

“Ia bagi tujuan memproses permohonan tanah dan melakukan bancian lot tanah di bawah skim tanah milik kerajaan negeri,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tambah beliau, kedua-dua suspek akan didakwa dalam masa terdekat. – Info X