Search

SSA adakan ujian kemahiran menembak

January 30, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Persatuan Menembak Sabah (SSA) pada hujung minggu lalu telah mengadakan Ujian Kemahiran Menembak (UKM) Siri 1/2024 di Lapang Sasar SSA, Lok Kawi, Jalan Penampang-Papar, di sini.

Pengarah pertandingan, Jeson Yong berkata, seramai 116 peserta terdiri daripada agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Peguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyertai UKM kali ini.

“UKM ini turut disertai oleh pemilik lesen senjatapi persendirian, syarikat kawalan keselamatan, pemegang lesen pemilikan dan penggendalian (Carry and Use-C&U) senjatapi milik SSA dan juga agensi Polis Bantuan Sutera Harbour dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)”, katanya selepas majlis penyampaian hadiah Ujian Kemahiran Menembak (UKM) Siri 1/2024 semalam.

Menurut Jeson yang juga penolong setiausaha Persatuan Menembak Sabah, UKM ini bertujuan untuk menguji kemahiran setiap peserta dalam pengendalian senjatapi dalam keadaan selamat walaupun terpaksa menembak dalam perlbagai keadaan, halangan, dan kedudukan.

“Setiap peserta akan diuji dengan tiga ‘stage’ (Short – Medium – Long) dan peserta dikehendaki melepaskan tembakan pada sasaran yang ditetapkan dengan tepat dalam pergerakan pantas bagi mendapatkan markah yang terbaik dalam UKM ini,” katanya.

Peserta perlu berlari pantas ke sasaran untuk melepaskan tembakan bagi mendapatkan masa yang terbaik.

Dalam ujian ini, Calson Cassey Alipin, penembak mewakili Jabatan Imigresen Malaysia telah menjuarai UKM Siri 1/2024 kategori terbuka diikuti oleh penembak SSA, Jeson Yong dan Clerence Wee yang mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia ditempat ketiga.

Acara “Shoot-off” atau jatuh piring turut diadakan bagi kategori lelaki dan wanita yang dimenangi oleh Jeson Yong dan Intan Terpilih Gonterat.

Acara Shoot Off.

Manakala, bagi kategori wanita terbuka tempat pertama dimenangi oleh peserta yang mewakili Polis Diraja Malaysia, Intan Terpilih Gonterat, tempat kedua Dewifitriyani Jamain mewakili JKDM dan Azlin Mohi (SSA) di tempat ketiga.

Hadiah disampaikan oleh Naib Presiden SSA, Steven Yong. – Info X