KOTA KINABALU: Pasukan menembak Sabah Shooting Association (SSA) sekali lagi membuktikan keupayaan mereka di pentas kebangsaan apabila muncul naib johan keseluruhan bagi kategori Production dalam Kejohanan Menembak International Practical Shooting Confederation (IPSC) Piala DSS 2025 Level 2 di Kelab Menembak Sasaran Shapadu, Putrajaya, baru-baru ini.
Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan reputasi SSA sebagai antara pasukan menembak terbaik di Malaysia selepas menyaingi penyertaan pasukan elit dari pelbagai agensi keselamatan dan kelab ternama lain.
Ketua pasukan, Jeson Yong berkata, kejayaan itu amat bermakna kerana pasukan SSA yang merupakan kelab swasta berjaya menyaingi kehebatan penembak elit dari Gerup Gerak Khas (GGK) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Kami amat teruja kerana bukan mudah bagi kelab swasta menandingi dominasi pasukan khas agensi keselamatan dalam acara IPSC.
“Namun kejayaan ini tidak datang mudah, banyak cabaran yang kami lalui termasuk menanggung sendiri kos latihan dan penyertaan,” katanya ketika dihubungi.

Jeson yang juga Timbalan Setiausaha SSA berkata, antara cabaran utama kali ini ialah reka bentuk stage pertandingan yang bersifat taktikal dan teknikal selain memerlukan kemahiran menembak menggunakan senjata pada tangan bukan dominan (weak hand) yang jarang dipertandingkan.
Beliau yang sebelum ini meraih tempat ketiga dalam kategori individu dan berpasukan di LEIOS IPSC Open Level 2 awal tahun ini, menganggap kejayaan kali ini sebagai pencapaian berganda buat dirinya dan SSA.
Jeson turut berharap lebih ramai penembak IPSC dari Sabah akan beraksi di peringkat luar negeri bagi menimba pengalaman serta mencabar diri dalam pertandingan bertaraf tinggi.
“Kami juga berharap kejohanan IPSC Level 2 dapat dianjurkan di Sabah tahun depan supaya lebih ramai penembak tempatan berpeluang menyertai,” katanya.
Kejohanan yang memasuki edisi keempat itu berlangsung dari 9 hingga 12 Oktober lalu, dengan penyertaan 121 peserta daripada pelbagai pasukan keselamatan dan kelab menembak seluruh negara.
Pasukan SSA diwakili oleh Jeson Yong, Carlson Cassey Alipin, Azlin Mohi dan Azlina Azizan. – Info X