Search

SST bukan alasan naik harga, peniaga diberi amaran tegas

June 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga menjadikan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) yang bermula esok sebagai alasan menaikkan harga.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata bagi mengekang situasi itu, KPDN melaksanakan Ops Kesan 4.0 serentak dengan penguatkuasaan SST, bermula esok bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan pada kadar yang tidak berpatutan.

Beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang didapati menggunakan alasan SST untuk menaikkan harga tanpa mengambil kira syarat ditetapkan kerajaan bagi melaksanakan cukai berkenaan, antaranya syarikat mesti sudah berdaftar dalam SST dan nilai jualan syarikat mesti melebihi RM1 juta setahun.

“Ops Kesan 4.0 akan digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011. Fokus pemantauan dan penguatkuasaan adalah untuk memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmagan dengan tidak munasabah serta bertentangan dengan perundangan di bawah AKHAP 2011.

“Skop penguatkuasaan meliputi barangan dan perkhidmatan yang terbabit dalam SST berkaitan. Ini termasuk pemantauan terhadap barangan yang tidak terbabit dengan semakan kadar SST seperti barangan keperluan asas,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, KPDN menggerakkan tiga pendekatan utama bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Ops Kesan 4.0, bermula dengan pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan, termasuk mengguna pakai data kutipan harga harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN sebagai asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan semakan kadar SST.

“Kedua, KPDN akan memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dan menggalakkan penyertaan awam sejajar dengan pelaksanaan Kita Gempur atau Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan.

“Seterusnya pendekatan yang ketiga, kita akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan caj, harga dan bekalan,” katanya.

Beliau berkata, saluran aduan turut disediakan untuk membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat kepada KPDN iaitu melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan 03-88826245 / 6088; WhatsApp 012-6654292; http://eaduan.kpdn.gov.my; call centre 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Armizan memberi amaran tindakan tegas akan diambil jika peniaga didapati menaikkan harga yang tidak munasabah atau tidak sejajar dengan perundangan pencatutan.

Katanya, peniaga individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda hingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 jika disabitkan kesalahan. – Info X