KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) turut mempersoalkan kewajaran penubuhan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) ketika sudah ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di setiap kampung di Sabah.
Setiausaha Agungnya, Datuk Jalumin Bayogoh, berkata berikutan itu perlu ada penjelasan mengenai program di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu.
“Setiap kampung, kita ada JKKK yang dilantik oleh kerajaan berdasarkan kelayakan mereka menjalankan tanggungjawab. Jadi, apakah tujuan penubuhan JKDM ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengutarakan pertanyaan yang sama seperti Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai mengenai rasional penubuhan JKDM di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), menerusi kenyataannya semalam.
Jalumin berkata, pihaknya bukan menolak atau membantah usaha dan inisiatif yang diambil oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi usaha untuk pembangunan serta kemajuan rakyat.
“Kita alu-alukan usaha untuk memajukan Sabah, untuk mensejahterakan rakyat.
Namun, pada masa yang sama, kami juga mahu kerajaan, pemimpin dan rakyat Sabah dihormati.
“Oleh itu, kami inginkan penjelasan tentang program ini. Umum mengetahui di Sabah sudah ada sistem pentadbiran dari peringkat negeri sehinggalah ke peringkat kampung,” katanya. – Info X