KOTA KINABALU: Statistik jenayah indeks di Sabah bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 782 kes atau 23.34 peratus berbanding 634 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kes pecah rumah secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan paling ketara iaitu 262 kes berbanding 228 kes pada 2023 bersamaan 12.97 peratus.
“Antara yang menarik perlu diberi perhatian ialah kejayaan menumpaskan empat kumpulan kes pecah rumah iaitu sindiket yang bermotifkan curi peti besi iaitu Geng Arrino, Gurun, Rizal, dan Yogi bagi dua bulan pertama tahun ini.
“Bagi tempoh sama juga kita berjaya menahan 12 suspek dan menyelesaikan 14 kes kecurian peti besi yang menyebabkan kerugian sebanyak RM1.361 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Kontinjen Sabah di Auditorium 5, IPK Sabah, di sini, hari in.

Jauteh berkata, peningkatan kes jenayah ini juga hasil pendekatan Kontinjen Sabah yang memastikan semua laporan polis diterima yang mempunyai unsur jenayah dibuka kertas siasatan.
“Kita mengambil pendekatan membuka kertas siasatan walaupun membabitkan kesalahan kecil yang boleh diklasifikasi tidak memerlukan siasatan (NFA) serta kes yang membabitkan kerugian dan kesalahan kecil.
“Usaha ini adalah bagi membolehkan pihak polis mengenal pasti dan melihat taburan serta corak jenayah yang berlaku di Sabah seterusnya membolehkan kita merangka strategi yang lebih berkesaan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Kontinjen Sabah mencatatkan peningkatan indeks jenayah, pada masa sama pihaknya turut merekodkan penyelesaian jenayah melebihi 60 peratus.
Katanya, kontinjen Sabah berjaya menyelesaikan 511 kes daripada keseluruhan 782 kes bersamaan 65.35 peratus.
Sementara itu, Jauteh berkata, pihanya menggerakkan keanggotaan mencukupi sepanjang Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri membabitkan lebih 1,400 anggota serta pegawainya menerusi pembentukkan task force bagi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah.
“Seramai 283 pasukan JSPT akan bertugas bagi Op Selamat dengan menumpukan 54 kawasan panas atau hot spot di jalan raya utama seluruh Sabah bermula 8 April depan manakala seramai 1,124 pegawai JSJ menerusi Op Pintu sepanjang Aidilfitri,” katanya. – Info X