OLEH NUR SYAHIRA ARSAD (PELAJAR KOMUNIKASI UMS)
KOTA KINABALU: Walaupun dikategorikan orang kurang upaya (OKU) namun ia bukan penghalang buat graduan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mohd Zulfadli Aiman Sulaiman, 24, menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (Komunikasi).
Ditemui pada hari kedua Majlis Konvokesyen UMS kali ke-23, Mohd Zulfadli menyatakan antara rahsia kejayaan termasuklah sentiasa berkongsi cabaran dihadapi kepada ibu bapa serta melakukan aktiviti yang diminati.
“Cabaran yang saya hadapi pada awalnya adalah untuk menerima keadaan universiti kerana sebagai seorang pelajar OKU, saya perlu bersiap sedia dengan perkara-perkara yang berlaku di UMS.
“Selain itu, cabaran yang saya lalui sebelum menamatkan pengajian ini adalah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, menyebabkan kami melakukan pembelajaran secara atas talian,” katanya ketika ditemui media, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Zulfadli menyatakana dirinya sangat gembira dan bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian mengikut masa yang ditetapkan iaitu selama tiga tahun.
Dalam pada itu, Mohd Zulfadli mengajak kepada individu yang senasib dengan dirinya agar tidak cepat berputus asa selain sentiasa meminta nasihat daripada pihak universiti dan rakan-rakan rapat.
“Program Komunikasi adalah program yang menyeronokkan dan sangat berkait rapat dalam kehidupan seharian.
“Saya sangat bertuah kerana berjaya dalam permohonan untuk melanjutkan pengajian ke program ini,” katanya yang berasal dari Membakut Sabah. – Info X