Search

Steve optimis Tadau Sukod Wagu 2024 lebih meriah

October 30, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Penganjuran kali pertama Tadau Sukod Wagu (Hari Belia) oleh Majlis Belia KDCA atau KDCA Youth Council (KYC), dilihat sebagai acara berpotensi sebagai titik permulaan menghimpunkan para belia KDMR.

Pengerusi KYC, Steve Johnny Mositun, berkata, walaupun menghadapi pelbagai kekangan, program yang diadakan selama dua hari itu menjadi pencetus semangat untuk menarik lebih ramai belia KDMR menyertai aktiviti-aktiviti anjuran mereka kelak.

“Bermula pada 7 Oktober 2023, kita menyaksikan acara mewarna kanak-kanak menerima 50 penyertaan.

“Permainan zaman kanak-kanak seperti tapak, biji getah dan “Zeropoint” juga mencuri perhatian para hadirin, selain acara melastik yang turut mengimbau kenangan lama para belia, apatah lagi bagi yang tidak pernah berkesempatan melastik,” katanya.

Acara melastik turut diadakan bagi mengimbau kenangan lama dan memberi peluang kepada yang belum pernah mencubanya.

Menurut Steve, para belia yang terlibat amat teruja, di samping menggamit perasaan seronok dan semangat kompetitif.

“Kami bukan sahaja berpeluang mencuba permainan yang kian hilang, tetapi dapat merapatkan jurang perbezaan di antara kaum yang ada di Sabah,” kata salah seorang pelajar Universiti Institut Teknologi Mara (UITM) berasal daripada Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Acara Malam Pesta Muda Mudi turut menjadi platform kepada penggiat seni hiburan tempatan, menunjukkan bakat nyanyian dan memperkenalkan lagu-lagu Sabahan.

Acara pentas turut diselitkan dengan sesi perkongsian kejayaan beberapa usahawan muda seperti Ian Brolin, yang dikenali menerusi jenama tempatan Headhunter Clothing, yang kini sudah terkenal di serata dunia, dan Chelsea Drew Balanting, seorang usahawan muda yang kian dikenali dalam bidang penanaman cendawan.

Kedua-dua figura ini memberi inspirasi kepada penonton bagaimana perjalanan hidup mereka sebelum berjaya mencapai kejayaan hari ini.

Gelagat pempengaruh terkenal Tik Tok, David Tutorial bersama anaknya Kumbibi, turut mencuri perhatian dengan memberi motivasi bukan setakat kepada anak muda tetapi juga kepada kanak-kanak pada malam itu.

Dalam perkongsiannya, David berpendapat, jika media sosial digunakan dengan tujuan yang baik, setidak-tidaknya mampu membantu masyarakat untuk lebih berfikiran kreatif dan positif.

Antara bakat yang menghiburkan acara Malam Pesta Muda Mudi ialah Rayner Ray selaku pengacara, Malvin Kalbin, Asbow Daling-Daling, Benn Simon Bukag, Marlleynney Fane, Aprillisa, Mc Ryan, Alister Alai, dan Maldini Sidney yang menutup tirai persembahan.

Dipelawa naik ke pentas secara spontan, Steve tetap sporting membuat persembahan nyanyian, menunjukkan kriteria kepimpinan KYC yang sentiasa bersedia dan mampu berinteraksi baik bersama para belia malam itu.

Hari kedua program menyaksikan personaliti RTM, Enn Xaviera, menyerikan lagi sesi bersama pemimpin yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, Presiden KDCA, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Datuk Kitingan, Timbalan Presiden KDCA, Datuk Seri Clarence Bongkos Malakun, dan Setiausaha Agung KDCA Datuk Suman Yasambun.

Steve (kanan) menyampaikan cenderakenangan kepada Jahid.

Kehadiran beberapa NGO seperti Persatuan Kebajikan Prihatin Pribumi Sabah, Tulid Youth Club, dan beberapa pelajar UITM turut menceriakan lagi suasana bersama pemimpin KDCA itu.

Dalam ucapan ringkas beliau, Steve berterima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa (AJK) di dalam KYC yang telah bertungkus-lumus membantu merealisasikan penganjuran tersebut.

“Ini merupakan program pertama di bawah KDCA, di mana objektif utama kita adalah untuk menghimpunkan belia KDMR, tetapi pada masa yang sama kita juga sentiasa terbuka kepada etnik lain untuk bersama berkongsi serta bertukar pendapat bagi mendapat satu titik persamaan yang membolehkan kita sebagai para belia Sabahan maju bersama selain berkongsi dan memelihara adat, kebudayaan dan martabat bangsa melalui KDCA,” katanya.

Tambah Steve, program seumpama itu sepatutnya dijadikan platform yang membolehkan suara belia dapat didengar, mendapat inspirasi, pemerkasaan belia, merapatkan jurang bukan sahaja dalam kalangan anak muda, tetapi di antara kepimpinan tertinggi KDCA dengan para belia itu sendiri.

“Selain aktiviti perniagaan (vendor), kita menyaksikan persembahan tarian tradisional Kadazan Papar, persembahan Cosplay yang membawa watak pahlawan Sabah, bakat seni tarian.

Mengulas lanjut, Steve menambah semua itu jelas memberi mesej bahawa itulah sebenarnya yang diharapkan para belia, iaitu minat, cara penyampaian belia dengan aktiviti yang mereka minati itu perlu diberi perhatian agar dapat bersama-sama membina belia kreatif, positif dan inovatif.

“Tapak acara yang bebas dari asap rokok dan alkohol turut menjadikan acara ini mesra kepada kanak-kanak, di samping mempromosikan kesihatan dan disiplin diri para pengunjung terutamanya belia.

Beberapa belia dari pelbagai suku etnik turut memberi pendapat mereka mengenai program tersebut.

Presiden Persatuan Kebajikan Prihatin Pribumi Sabah, Remzie Kisi@Remy, berkata, beliau sangat berbangga dan teruja dapat menyertai aktiviti seumpama itu, dan berharap lebih ramai wakil etnik KDMR akan menyertainya pada tahun hadapan.

Mewakili etnik Murut, Pengerusi Tulid Youth Club, Rainy Valentine Andrew, menyatakan harapan agar Tadau Sukod Wagu itu dapat dijadikan acara tahunan bagi membolehkan lebih ramai suku etnik KDMR berkumpul di samping berkenalan sesama mereka.

Artis tempatan Sabah, Amir Shahril atau lebih dikenali sebagai Asbow Daling-Daling, turut berterima kasih kerana etnik Bajau turut diberi ruang membuat persembahan pada Malam Pesta Muda Mudi, sekaligus memperlihatkan semangat perpaduan dan keharmonian pelbagai bangsa yang hadir selain KDMR sebagai tuan rumah.

Pada kesempatan itu, Steve mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin KDCA yang hadir memberi sokongan sebagai suntikan semangat untuk mereka meneruskan acara tersebut pada tahun hadapan.

“Kepada pihak KDCA, KDCA Cultural Village, Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, pihak penaja Qhazanah Sdn Bhd dan para penyumbang lain, terima kasih tidak terhingga,” katanya. – Info X