Search

Stor ayam, daging sejuk beku tamat tempoh digempur di Kudat

March 10, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Sebuah rumah dipercayai dijadikan stor penyimpanan produk ayam dan daging sejuk beku digempur Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, dalam operasi bersepadu membabitkan beberapa agensi di Jalan Pinagsu, di sini, semalam.

Serbuan dijalankan menerusi Operasi Inter – Agensi yang turut membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kudat bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kudat selepas premis berkenaan disyaki menyimpan produk makanan dalam keadaan meragukan.

Hasil pemeriksaan di lokasi menemui tiga unit cold storage yang menyimpan pelbagai jenis kotak ayam serta daging sejuk beku dalam kuantiti yang banyak.

Produk ayam dan daging sejuk beku yang dirampas dalam operasi bersepadu membabitkan beberapa agensi di Jalan Pinagsu, Kudat.

Semakan lanjut oleh pegawai KKM mendapati beberapa produk makanan yang disimpan di premis berkenaan telah tamat tempoh sejak 2022, 2023, 2025 dan Januari 2026.

Produk makanan itu dipercayai disimpan tanpa mematuhi piawaian kebersihan serta keselamatan makanan seperti yang ditetapkan.

Komander PPPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, semua produk yang terbabit telah dirampas untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.

Pasukan operasi menjalankan pemeriksaan stor penyimpanan produk ayam, daging sejuk beku di di Jalan Pinagsu, Kudat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 38(1)(c), Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 serta Peraturan 11 kerana gagal mematuhi kewajipan pemilik premis untuk memastikan premis berada dalam keadaan bersih, selamat dan mematuhi piawaian penyimpanan makanan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM374,010.80,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan makanan sentiasa terjamin sekali gus melindungi kesihatan pengguna. – Info X