Search

Stor penyimpanan barang lama, kereta musnah terbakar

March 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Stor penyimpanan barang lama dan sebuah kereta musnah dalam kebakaran di Jalan Kionsom Kampung Tatahan Inanam, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian jam 8.45 malam itu bagaimanapun tidak membawa sebarang kemalangan jiwa.

“Ketua Operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah setor penyimpanan barang lama jenis tidak kekal berukuran 10×10 terbakar sepenuhnya.

“Turut terbakar sebuah kenderaan jenis Perodua Viva dan pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki, satu pancutan dan satu aliran Hose Reel dengan sumber air didapati dari Jentera bomba.

Anggota bomba memadam kebakaran stor di Jalan Kionsom Kampung Tatahan Inanam, Kota Kinabalu. – Foto/Bomba

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 9 malam,” katanya.

Beliau berkata, tiada mangsa terlibat dan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. – Info X