Search

Suami isteri ditahan miliki senapang angin, syabu

June 11, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Suami isteri ditahan kerana memiliki senapang angin dan dadah jenis syabu dalam satu serbuan di Kampung Sungai Melayu, Pulau Sebatik, di sini, Ahad lalu.

Pasangan warga asing yang berusia 54 dan 30 tahun itu ditahan anggota Bahagian Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sebuah rumah tidak bernombor, pada jam 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat dan risikan mengenai kegiatan suspek terbabit.

“Ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek berada di dalam rumah berkenaan dan siasatan awal mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil soal siasat, suspek lelaki telah menyerahkan selaras senapang angin, beberapa benda tajam, lastik dan busur anak panah yang diletakkan di dalam rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Senjata dan syabu yang dirampas menerusi serbuan yang dilakukan pasukan polis. – Foto/PDRM

Sementara itu, katanya, pemeriksaan ke atas wanita itu pula, menemukan sebuah beg berisi 221 paket plastik lutsinar disyaki mengandungi 64.81 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM6,500.

“Semua suspek bersama senjata dan dadah yang dirampas itu kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan serta siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X