Search

Suami isteri hisap dadah ditahan

July 12, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Bukan jadi pelindung, sebaliknya seorang suami hanyut bersama isteri dalam najis dadah hingga kedua-duanya dicekup polis dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala Merotai, semalam.

Pasangan berusia 39 dan 29 tahun itu ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hasil risikan dan maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan menemui 42 psket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Dadah syabu seberat 5.83 gram itu disembunyikan dalam beg kecil dengan nilai anggaran RM400.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya terus bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi membantu usaha berterusan pihak polis membanteras jenayah itu. – Info ax