Search

Suami isteri maut kemalangan selepas hadir majlis hari jadi

October 22, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Perjalanan pulang suami isteri selepas menghadiri majlis hari jadi keluarga, berakhir tragedi apabila kedua-dua mereka maut dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Pintas dekat pusingan U, Padimas Point, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, pasangan berusia lingkungan 60 tahun yang tersepit di tempat duduk kereta Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan Proton Saga.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda lelaki dari arah Kota Kinabalu menuju ke Donggongon disyaki merempuh Proton Saga yang datang dari arah Donggongon dan dipercayai membuat pusingan U.

Keadaan kedua-dua kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Pintas dekat pusingan U, Padimas Point, Penampang.

“Akibat rempuhan itu, pemandu dan penumpang Proton Saga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Manakala pemandu pacuan empat roda parah dan dihantar ke HQE Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke HQE I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.

Pasukan polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kemalangan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Sammy berkata, pihaknya menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya dan meminta supaya tidak menularkan gambar mangsa kemalangan bagi menjaga sensitiviti keluarga.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, dua mangsa tersepit dalam Proton Saga dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia.

“Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X