Search

Suami isteri maut nahas, tujuh beradik yatim piatu sekelip mata

August 4, 2025

Info X Reporters

KINABATANGAN: Tujuh beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan selepas kenderaan yang dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kilometer 121, berhampiran Masjid Takala, Kampung Paris 1, di sini, semalam.

Pasangan suami isteri masing-masing berusia 34 tahun itu menumpang sebuah kereta jenis Toyota Avanza bersama seorang rakan sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Kedua-duanya mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Kinabatangan, namun disahkan meninggal dunia sekitar jam 3.43 petang hari sama.

Difahamkan, pasangan itu meninggalkan tujuh cahaya mata yang kini kehilangan tempat bergantung selepas kehilangan ibu bapa serentak dalam tragedi itu.

Turut parah dalam kemalangan iaitu pemandu Toyota Avanza berusia 46 tahun dan kini menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Ravi A/L Duraisamy berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki pasangan itu dipercayai dari arah Lahad Datu menuju ke Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar sebatang pokok yang berada di bahu jalan sebelah kiri.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu bersama dua penumpang (suami isteri) parah dan dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun katanya, doktor dari Unit Kecemasan Hospital Kinabatangan memaklumkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia pada jam 3.43 petang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X