Search

Suami orang kena cekup khalwat

July 25, 2025

Info X Reporters

KUNAK: Seorang lelaki berstatus suami orang antara dua pasangan dicekup berkhalwat dalam serbuan Ops Cegah Maksiat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kunak di dua hotel berasingan sekitar daerah ini, semalam.

Lebih mengejut, lelaki itu yang berstatus suami orang dikesan berdua-duaan dengan seorang wanita bukan mahram di dalam bilik hotel ketika serbuan dijalankan.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Kunak, Mohd Jeffery Hamad berkata, operasi bermula jam 10 malam hingga 12 tengah malam itu, pasangan terbabit gagal memberikan bukti hubungan mahram atau perkahwinan yang sah kepada pegawai penguat kuasa.

“Kedua-dua bilik diserbu selepas pihaknya menerima aduan awam dan menjalankan risikan ke atas lokasi berkenaan.

“Semua tangkapan dibuat mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan mereka dibawa ke pejabat JHEAINS Kunak untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menyeru orang ramai supaya lebih cakna dan menyalurkan maklumat berkaitan maksiat bagi membanteras gejala sosial yang boleh merosakkan masyarakat.

Tambahnya, operasi seumpama itu akan diteruskan secara agresif dan berterusan bagi memastikan daerah Kunak kekal sejahtera dan terhindar daripada perbuatan tidak bermoral. – Info X