Search

Suami parah, isteri cedera ringan, motosikal rempuh kenderaan elak anjing melintas

July 29, 2025

Info X Reporters

KUDAT: Seorang lelaki parah manakala isterinya cedera ringan selepas motosikal dinaiki mereka terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah pacuan empat roda ketika cuba mengelak seekor anjing yang melintas jalan di Kilometer 11, Jalan Kudat – Kota Kinabalu, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, pasangan suami isteri terbabit dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kudat sebelum motosikal dinaiki hilang kawalan ketika mengelak haiwan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Hj Ibrahim berkata, motosikal mangsa kemudian merempuh Toyota Fortuner yang datang dari arah bertentangan, manakala sebuah lagi kenderaan berada di belakang motosikal berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Hj Ibrahim.

“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal berusia 47 tahun parah pada kaki, manakala isterinya cedera ringan.

“Kedua-duanya dibawa ke Hospital Kudat untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya. – Info X