KOTA MARUDU: Lelaki yang dipercayai menetak isterinya menggunakan parang sehingga mengalami 14 kecederaan di Kampung Mangkupa, di sini, semalam, berjaya ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Kota Marudu, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa wanita tempatan berusia 40 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah sebelum dikejarkan ke Hospital Kota Marudu untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Somiun Lomidin berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat daripada orang awam.
Beliau berkata, suspek yang juga lelaki warga Indonesia berusia 50 tahun bagaimanapun melarikan diri ke kawasan kebun sawit berhampiran selepas kejadian.
“Suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Kota Marudu kira-kira jam 12.15 tengah malamnya sebelum ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan di lokasi bersama Unit Forensik JSJ Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah berjaya menemukan semula parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu selepas disembunyikan di kawasan semak berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas pakaian yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian dan disembunyikan di kawasan semak berhampiran kebun pisang.
Beliau berkata, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di wad Hospital Queen Elizabeth, Kotq Kinabalu.
“Suspek direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya,” katanya.
Terdahulu, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham selepas suspek menuduh mangsa berbual dengan jiran lelaki.
Pertengkaran itu dipercayai menyebabkan suspek bertindak mengambil parang sebelum menyerang isterinya. – Info X