Search

Subsidi tiket penerbangan kurangkan beban pelajar Sabah – MBS

March 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemberian subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah di institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung, Sarawak dan Labuan dapat mengurangkan beban pelajar terutama untuk menampung kos balik kampung.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan, berkata pengumuman Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu bertepatan dengan keperluan golongan mahasiswa dari negeri ini yang kebanyakannya datang dari keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, sebelum ini ramai pelajar mengeluh tidak dapat balik kampung, khususnya pada musim perayaan disebabkan harga tiket penerbangan yang mahal, ditambah ketidakmampuan keluarga pelajar menampung harga tiket yang tinggi.

“MBS menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sabah atas pemberian subisidi tiket penerbangan sekali bayar sebanyak RM600 kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) Sabah yang sedang melanjutkan pengajian di Semenanjung, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Keputusan yang dibuat Ketua Menteri itu bertepatan dengan keperluan golongan mahasiswa dari negeri ini yang rata-ratanya datang dari keluarga kurang berkemampuan.

“MBS sebelum ini turut terkesan dengan keluhan pelajar IPT dari Sabah yang tidak mampu pulang ke kampung halaman terutama sekali sewaktu musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Hajiji mengumumkan pemberian subsidi tiket penerbangan sekali bayar sebanyak RM600 seorang kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian tinggi di Semenanjung, Sarawak dan Labuan sempena majlis berbuka puasa bersama pelajar Sabah di Pulau Pinang.

Sementara itu, Abqaree juga meminta kerajaan negeri agar terus komited memenuhumi keperluan belia di negeri ini selain memuji langkah terdahulu yang diambil kerajaan seperti Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) dan Program Dewan Belia Sabah yang membawa kesan signifikan terhadap pembangunan 2.4 juta belia di negeri ini.

“MBS berharap agar kerajaan negeri terus komited menyantuni aspirasi dan keperluan belia di negeri ini demi masa depan Sabah yang lebih baik,” katanya. – Info X