Search

Sudah ramai anak tempatan Sipitang bekerja di SOGIP – Dr Yusof

May 19, 2025

Info X Reporters

SIPITANG: Komitmen awal pengambilan tenaga kerja tempatan di syarikat beroperasi di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), di sini, sudah direalisasikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata ketika ini sudah ramai anak tempatan khususnya dari Sipitang bekerja di SOGIP.

Katanya, kebanyakan mereka bekerja dalam pelbagai sektor dan kepakaran di Kilang Sabah Ammonia Urea (SAMUR) Petronas Chemical Fertilizers Sabah.

“Lebih banyak peluang pekerjaan akan tersedia di SOGIP yang memerlukan masyarakat Sipitang khususnya anak-anak muda merebut peluang.

“Perbincangan awal bersama pengurusan tertinggi PETRONAS dan pihak pengendali SOGIP telah diadakan sejak beberapa tahun lalu bagi menjamin keutamaan pengambilan pekerja tempatan, sama ada melalui vendor, sub-kontraktor mahupun jawatan tetap di syarikat penyelenggaraan,” katanya.

Pada masa sama, katanya beliau bersama Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musa turut meminta untuk dilaksanakan karnival kerjaya SOGIP, termasuk mengadakan temuduga pengambilan pekerja, membabitkan syarikat yang beroperasi di taman perindustrian itu.

“Alhamdulillah, ia ditunaikan hari ini menerusi Hari Terbuka SOGIP atas inisiatif Petronas bersama beberapa syarikat lain. Inilah impian kami di Sipitang. Hari terbuka seperti ini memberi pendedahan mengenai peluang pekerjaan yang ada di SOGIP.

“Saya difahamkan seramai 450 anak muda telah ditemuduga pada Hari Terbuka SOGIP ini dan saya mahu keputusan diambil segera agar mereka terus diserap,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Terbuka SOGIP di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Sipitang, baru-baru ini.

Hadir sama Matbali; Penolong Pegawai Daerah Sipitang, Razan Zawani Asli; Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd, Abdullah Side dan Pengurus Projek Petronas ZLNG, Afiq Ahmad.

Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, berkata beberapa pelabur lain termasuk Petroventure, Gibson, Esteel dan SOGIP Port, dijangka memulakan operasi tidak lama lagi dengan keseluruhannya, enam syarikat membabitkan pelaburan berjumlah RM72 bilion bakal beroperasi di kawasan seluas 4,065 hektar itu.

Katanya, ketika fasa pembinaan, sehingga 3,500 pekerja diperlukan dan angka itu dijangka melonjak kepada puluhan ribu apabila kesemua loji beroperasi.

Di SAMUR saja, katanya dianggarkan mengambil 500 kakitangan tetap dengan pekerja lain membabitkan kerja penyelenggaraan berterusan seperti pemotongan rumput, pembersihan dan penyelenggaraan paip.

“Berdasarkan unjuran, kira-kira 5,000 pekerja tetap beserta ahli keluarga boleh meningkatkan populasi daerah hingga 25,000 orang, sekali gus merangsang permintaan perumahan, servis penyaman udara, servis kenderaan, bekalan makanan segar dan perkhidmatan runcit.

“Masyarakat Sipitang perlu merebut peluang ini dan dengan berfikiran jauh ke hadapan tidak menyangka manfaat ekonomi hanya akan dinikmati kontraktor besar atau pemimpin.

“Sebaliknya, apabila industri besar masuk, peluang terbahagi kepada empat elemen iaitu pembinaan, operasi, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan.

“Penduduk tempatan harus melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan industri dan meneroka sektor hiliran seperti makanan, logistik, salon, taman rekreasi kanak-kanak serta servis penghawa dingin,” katanya.

Dr Yusof berkata, projek berimpak tinggi di SOGIP itu selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah Kerajaan Negeri yang dijangka memacu pertumbuhan ekonomi Sipitang untuk dekad akan datang. – Info X