KAJANG: Gandingan Leeyana Fitrialeysa dan Nurul Aina Ali Asmat menghadiahkan pingat emas pertama Sabah dalam acara petanque pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026, pada Rabu.
Gandingan terbabit menampilkan aksi tenang dan kemas sebelum menewaskan wakil Pulau Pinang, Anis Sofea Saiful Rizal dan Nur Irdina Qaireen, 13-6 pada perlawanan akhir beregu wanita di Arena Petanque, Kompleks Sukan Kuala Selangor.
Pengurus pasukan Sabah, Azami Laman, berkata kejayaan itu cukup menggembirakan, namun kemenangan berkenaan tidak hadir dengan mudah seperti yang digambarkan menerusi catatan mata.
“Bukan kemenangan mudah tetapi atlet kami bijak mengambil peluang daripada kesilapan lawan dan menukarkannya kepada mata.
“Itulah antara kekuatan utama mereka, selain ketenangan, fokus dan azam memburu pingat emas pada perlawanan akhir,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, kata-kata semangat daripada Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, sebelum perlawanan akhir turut memberi suntikan keyakinan tambahan kepada kedua-dua pemain.
Katanya, kehadiran Nizam bersama rombongan termasuk Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Asun, yang memberikan sokongan sehingga tamat perlawanan akhir turut menyemarakkan semangat juang atlet Sabah.
Azami berkata, pasukan petanque Sabah kini akan mengalihkan fokus kepada baki persaingan membabitkan acara triples lelaki, triples wanita dan beregu campuran.
“Kami berharap dapat menyumbang lebih banyak pingat emas dalam persaingan seterusnya dan kami optimis mempunyai peluang dalam acara triples wanita.
“Kami berharap pemain dapat memberikan persembahan terbaik sekali lagi dan ia memadai untuk meraih pingat,” katanya.- Info X