Search

Sungai melimpah, aliran balik air punca banjir

July 11, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Banjir berhampiran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Penampang, Putatan dan Inanam, di sini, pada akhir bulan lalu dikenal pasti berpunca daripada limpahan sungai atau saliran keluar yang menyebabkan aliran balik air sungai ke longkang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata keadaan itu dikesan di Kampung Ketiau dan Duvanson, Putatan; Jalan Penampang-Tambunan dan Kampung Kolopis di Penampang; serta Kampung Kitobu di Inanam.

Katanya, kerja tanah oleh pemilik tanah di luar sempadan kerja Projek Lebuhraya Pan Borneo memburukkan lagi situasi banjir memandangkan tiada sistem perparitan yang betul.

“Berdasarkan semakan yang dibuat oleh pihak penyeliaan di tapak, faktor utama berlakunya banjir adalah disebabkan oleh satu- satunya outlet di Kampung Ketiau, Duvanson, Jalan Penampang – Tambunan, Kampung Kolopis dan Kampung Kitobu telah melimpah dan menyebabkan aliran balik ke longkang sedia ada.

“Selain itu, aktiviti kerja tanah oleh pemilik tanah di luar sempadan kerja Pan Borneo juga menjejaskan aliran keluar air. Kerja-kerja tanah ini tidak mempunyai sistem saliran perparitan yang betul,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Beliau menjawab dakwaan Timbalan Presiden Parti Warisan (WARISAN) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Darell Leiking mengenai kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sebagai antara punca banjir di Penampang.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata bagi mengelak masalah banjir daripada berulang, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap pemilik tanah yang menjalankan kerja tanah tanpa menghiraukan sistem perparitan.

Bagi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo, katanya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sentiasa memastikan semua langkah berjaga-jaga dan mitigasi diambil bagi mengelak kejadiaan banjir menjejaskan jajaran utama lebuh raya itu.

“Sebelum pembinaan bermula, perancangan dan reka bentuk jajaran ini sudah diteliti dan mendapat kelulusan daripada agensi kerajaan berkaitan termasuk kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (EPD) serta simulasi banjir yang dibentangkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah.

“Semasa pembinaan, pihak kontraktor juga menjalankan penyelenggaraan rutin untuk memastikan longkang sementara dan longkang baharu dibina tidak berkelodak dan tidak dipenuhi sampah atau tumbuhan yang boleh menghalang aliran air,” katanya.

Beliau berkata, pasukan pelaksana Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah juga mengambil inisiatif menambah baik reka bentuk asal perparitan dalam sempadan kerja lebuh raya itu dari semasa ke semasa sepanjang pembinaan projek.

Antaranya, beliau berkata adalah menambah baik sistem perparitan di sekitar kawasan Kampung Kolopis, dan Kitobu serta menyediakan pembetung tambahan dan menaik taraf aliran Sungai Kitobu. – Info X